Threads sejak kebelakangan ini melakukan pelbagai perkara untuk memastikan perkongsian kandungan pengguna Threads menerima pencapaian dan interaksi terbaik. Semalam, ciri menjadualkan perkongsian diperkenalkan dan hari ini ciri menggunakan gambar atau video pengguna lain pula boleh dilakukan oleh semua pengguna.
Ciri ini adalah sebahagian daripada “Petikan” (Quote) di bawah repost, di mana kini akan ada tiga pilihan apabila ikon repost ditekan. Pertama adalah “Siarkan semula” (Repost), kemudian “Petikan” (Quote) dan terbaru adalah “Gunakan media” (Use media). Dengan menggunakan ciri baharu ini, pengguna boleh terus dapatkan gambar atau video dari perkongsian asal untuk dikongsi semula melalui akaun sendiri tanpa teks tambahan dari pengguna asal.
Adam Mosseri selaku ketua Instagram menyatakan, pengguna asal turut akan dikreditkan dengan akan ada tera air nama pengguna pada fail media yang digunakan. Ini adalah ciri lebih kurang sama yang ada pada X, di mana apabila ada kandungan media dikongsi dari akaun pengguna lain – akaun asal yang kongsi kali pertama akan dikreditkan.
Dalam cubaan saya, ciri ini masih tiada pada peranti Android dan iOS yang sedang saya gunakan. Ini bermakna ciri ini ditawarkan secara berperingkat. Cuma tidak pasti, adakah pengguna asal akan turut dapat menikmati interaksi dan tontonan sama.