Tahun ini, banyak platform digital telah mengikut jejak langkah Spotify dalam memperlihatkan butiran tentang penggunaan platform masing-masing oleh pengguna, dan terkini, Steam, gedung permainan komputer atas talian paling popular di dunia juga telah melakukannya.
Dinamakan Steam Replay, fungsi ini memperlihatkan permainan-permainan komputer yang dimainkan sepanjang tahun 2024. Ciri ini telah diperkenalkan sejak 2022, tetapi untuk tahun ini, Steam juga telah menjejak jumlah permainan yang dimainkan, jumlah waktu yang digunakan untuk memainnya, jumlah pencapaian yang anda telah capai dan sebagainya.
Selain daripada pencapaian individu, Steam juga sedikit sebanyak menunjukkan angka keseluruhan platform tersebut. Misalnya, angka median untuk jumlah permainan yang dimainkan sepanjang 2024 setiap pengguna ialah sebanyak 4 permainan komputer, dan 13 pencapaian yang diterima.
Satu lagi ciri baru ialah jika anda memiliki sebuah konsol Steam Deck, Valve juga akan memaparkan jumlah waktu yang anda luangkan dan genre permainan yang anda lebih gemari pada platform tersebut.
Anda boleh mengakses Steam Replay melalui laman web Steam Replay, aplikasi Steam di PC ataupun aplikasi mudah-alih dan juga konsol Steam Deck jika anda memilikinya.
Sayangnya untuk saya, komputer yang saya gunakan untuk gaming telah rosak sejak awal tahun ini dan saya tidak mempunyai masa untuk menukar komponen-komponen yang perlu diganti, jadi kebanyakan masa saya hanya diluangkan pada konsol Sony PlayStation 5 dan juga peranti pintar dengan permua-permua kegemaran saya.