Carian
Panasonic Mengumumkan Kamera LUMIX G97 Dan LUMIX ZS99 Baharu
December 19, 2024 Amy Maizuraa

Panasonic telah memperkenalkan dua kamera baharu dalam barisan Lumix melalui kamera nircermin hibrid LUMIX G97 dengan lensa Lumix G Vario 12-60mm f/3.5-5.6, dan kamera bersaiz kompak LUMIX ZS99. Kedua-dua kamera baharu ini menampilkan pelbagai ciri foto dan video lebih baik untuk meningkatkan kualiti imej ke tahan yang baharu.

Melalui kanta 24-720mm Leica DC Vario-Elmar, LUMIX ZS99 menawarkan zum optikal 30X dan sehingga 60X dengan iZoom yang ideal untuk tangkapan jarak dekat dengan jelas. Ia juga mempunyai keupayaan merakam video dengan resolusi HD Penuh 4K/30P bersama sokongan 5-Axis HYBRID O.I.S.+ terbina. Selain turut boleh merakam video HD Penuh pada 120fps untuk tangkapan gerakan perlahan.

Sambungan Wi-Fi juga hadir untuk keperluan kawalan jauh dan memindahkan imej terus ke peranti mudah alih. Dalam masa sama dikemaskini dengan Bluetooth 5.0, port USB-C dan butang Send Image khusus untuk memindahkan fail ke telefon pintar yang lancar. LUMIX ZS99 juga dilengkapi panel LCD di bahagian belakang dan sebuah viewfinder dengan 1,840 juta titik. Dalam masa sama cukup kecil untuk dimuatkan dalam poket dan tahan lasak yang menjadikannya sesuai untuk merakam aktiviti luar.

LUMIX G97 pula mempunyai sensor Micro Four Thirds 20.3MP, penstabilan imej 5-stop 5-axis Dual I.S. 2 terbina dan keupayaan rakaman video 4K/30P. Ia juga menawarkan ciri LUMIX Photo Style yang membolehkan pengguna memperhalusi imej dengan pelbagai pilihan kesan warna, sementara itu ciri Live View Composite pula sesuai digunakan dalam situasi yang terang tanpa isu dedahan melampau di latar belakang.

S&Q Mode dan V-Log L Mode juga hadir untuk keperluan penghasilan kandungan yang sinematik. Selain itu bahagian belakang kamera turut menempatkan skrin LCD sebesar 3-inci dengan resolusi yang lebih baik dan viewfinder OLED 2,360 juta titik. Diikuti dengan ciri-ciri lain termasuk sambungan bluetooth 5.0 dan port USB-C untuk pemindahan imej dan video yang lancar merentasi peranti.

LUMIX ZS99 baharu akan tersedia dalam warna hitam dan perak pada Februari 2025 dengan harga $499.99 (~RM2,252). Manakala LUMIX G97 pula akan tersedia pada akhir Februari 2025 dengan harga $849.99 (~RM3,829) untuk kit kanta 12-60mm (DC-G97MK).

Komen