Malaysia memberi penekanan terhadap pewujudan bandar pintar berdasarkan trend peningkatan jumlah penduduk di kawasan bandar. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menandatangani pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama Digital Perak Corporation Holdings (DPCH) untuk pelaksanaan program bandar pintar di Bandaraya Ipoh.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam satu kenyataannya berkata MoU tersebut adalah meliputi usaha penambahbaikan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau.
Beliau menerusi kenyataan yang sama juga berkata kerjasama itu merangkumi penambahbaikan liputan internet di Perak bagi menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang dipersetujui. Selain itu MCMC juga berperanan memberi perkhidmatan nasihat teknikal kepada DPCH berkaitan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.
Turut dilaksanakan di bawah kerjasama tersebut adalah penerokaan kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi di Pusat sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan pembabitan komuniti setempat. Di mana kesemua inisiatif dinyatakan tadi adalah amat penting dalam usaha untuk menjadikan Ipoh sebuah Bandaraya yang maju dan efisien.