Carian
Aplikasi Dalam Android 16 boleh Menghalang Akses Alatan Menulis AI
December 20, 2024 Fahim Zahar

Penggunaan kecerdasan buatan generatif untuk menjana teks kini menjadi semakin popular. Ciri ini turut telah terbina dalam banyak telefon pintar, cuma kaedah mengakses yang berbeza mengikut peranti. Samsung memerlukan aplikasi Samsung Keyboard, Apple menyembunyikannya dalam ruangan menaip, Google meminta pengguna menyeru Gemini dan menjana dengan arahan suara.

Akan datang dalam Android 16, aplikasi-aplikasi yang terpasang dalam peranti boleh menghalang akses kepada ciri alatan menulis yang dikuasakan kecerdasan buatan generatif. Pasukan Android Authority menemui kod baharu dalam Android 16 DP2 yang berkait dengan WritingTools API. Kenapa ciri Ai baharu yang semakin ramai gunakan ini, Google mahukan pembangun aplikasi untuk membenarkan halangan ini?

Mudah, jawapannya adalah untuk memastikan ruangan menaip teks seperti untuk nama pengguna, emel, kata laluan, alamat dan lain-lain untuk mengisi maklumat penting ditaip sendiri oleh pengguna. Ruangan menaip seperti ini tidak sepatutnya dijana dengan AI. Jika pengguna ingin memudahkan lagi proses, ciri auto-isi terbina dalam Android sudah matang dan sangat berguna.

Android 16DP2 kini boleh diuji pada peranti-peranti Pixel terpilih. Jika anda ingin cuba, sila fahami risiko menguji sistem operasi versi beta pada peranti peribadi.

Komen