Kerajaan Malaysia telah mengenal pasti lapan platform media sosial serta pemesejan yang perlu mendapatkan lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menjelang 1 Januari depan. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa platform tersebut adalah WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube, Telegram, WeChat, dan TikTok. Platform-platform ini telah mencapai kriteria mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia.
Fahmi menegaskan keperluan lesen ini bukan bertujuan untuk menyekat kebebasan bersuara atau menghalang inovasi, tetapi untuk memastikan keselamatan internet di Malaysia khususnya bagi kanak-kanak bawah umur.
Beliau juga menyatakan bahawa beberapa platform telah menyuarakan kebimbangan mereka mengenai inovasi dan cabaran untuk menubuhkan pejabat tempatan, tetapi beliau yakin bahawa platform-platform ini akan mematuhi undang-undang tempatan memandangkan keuntungan yang mereka perolehi daripada pasaran Malaysia.