Di Amanz, walaupun kami memfokuskan kepada kandungan berbentuk artikel – kandungan video juga masih penting bagi kami. Disebabkan itu, di makmal Amanz kami telah menguji pelbagai jenis mikrofon untuk tujuan merakam audio untuk kandungan yang pelbagai. Kami pernah menguji Rode, Boya, Saramonic dan terbaru adalah Hollyland. Lebih spesifik LARK M2.
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Jenis | Lavalier Nirwayar, mudah alih Omnidirectional |
Mod Pemodulan Nirwayar | Gaussian frequency-shift keying, 2Mbps |
Jarak Penghantaran Data | Kombo USB-C/Lightning: Sehingga 300m, LOS Sehingga 60m, NLOS Kombo kamera: Sehingga 300m, LOS Sehingga 40m, NLOS |
Kualiti Audio | Gred Studio: 24-bit, kHz |
Saiz/Berat | Pemancar: 26mm x 9.9mm, 9g Penerima: 40mm x 25.7mm x 20.5mm, 14.8g Pod Pengecas: 86mm x 54mm x 39mm, 111g |
Bateri | Pemancar: 97mAh, 10 jam Penerima : 145mAh, 9 jam Pod Pengecas: 1950mAh, 3x pengecasan penuh Masa pengecasan: Bawah 2 jam |
Harga | Kombo Kamera, Hitam/Putih Asal – RM699 Kini – RM549 |
Hollyland LARK M2 adalah mikrofon jenis lavalier mudah alih yang nirwayar. Ia juga adalah mikrofon yang direka dalam saiz sangat kecil dan kompak sehingga turut digelar sebagai mikrofon butang (button mic). Set yang kami uji ini adalah kombo kamera di mana ia hadir dengan 1x penerima dengan rekaan mudah sepit, boleh dilekatkan dengan magnet dan juga boleh disambungkan pada kamera profesional.
Kemudian turut tersedia adalah 2x pemancar yang bersaiz butang, juga ada pilihan magnet atau sepit. Kemudian Hollyland turut menyediakan penyesuai (penerima) USB-C dan Lightning. Untuk pengecasan, pod pengecas yang tidak begitu besar turut diberikan.
Dua perkara yang saya tidak gemar dengan mikrofon ini adalah yang pertama, penyesuai USB-C tiada tempat simpan selain perlu bergantung kepada kantung yang diberikan. Seterusnya adalah logo jenama Hollyland yang ada di mana-mana, tetapi ini boleh dimaafkan kerana tersedianya set pelekat berwarna-warni yang ceria. Ia boleh digunakan untuk pelbagai tema video atau pilih pelekat berwarna hitam/putih untuk lebih formal.
Penggunaan sepit pada saya tidak begitu menarik walaupun saiz kecil dan ringan. Ini kerana jika saya tidak memakai jaket atau topi, saya perlu sepit pada kolar yang sangat rapat dengan tengkuk. Ini membuatkan audio kurang jelas. Disebabkan itu, saya banyak menggunakan magnet. Walau bagaimanapun, apabila berada di luar dan saya ada individu mudah berpeluh – saya akan memakai rantai + magnet disediakan agar mikrofon tidak melekat ke kulit badan.
PENGALAMAN PENGGUNAAN – KUALITI RAKAMAN
Saya mula membeli mikrofon ini sendiri bagi tujuan memudahkan kerja-kerja rakaman suara ketika bertugas di luar pejabat. Selepas yakin dengan kualitinya yang menakjubkan, satu lagi set turut kami dapatkan untuk memudahkan pasukan editor lain.
Untuk kualiti audio, LARK M2 menawarkan bunyi yang mengejutkan cukup berkualiti untuk saiznya. Ia menyokong rakaman audio gred studio iaitu 24-bit, 48kHz. Sejak bulan Februari sehingga Disember tahun ini, saya sedari penggunaan bersama penerima kamera jauh lebih berkualiti berbanding menggunakan penerima USB-C. Pada kamera, suara akan kedengaran lantang, mempunyai kejelasan yang optimal, masih ada bass yang enak dan paling penting menyokong rakaman stereo.
Tidak kira editor lelaki seperti saya dengan suara kuat, atau ketua editor saya En. Effi dengan suara penuh dentuman bass atau Cik Amy yang mempunyai suara dengan nota tinggi – LARK M2 boleh rakam semuanya dengan baik. Cuma, ini adalah untuk rakaman di dalam studio. Dengan mod pembatalan hingar persekitaran lalai (ENC rendah).
Apabila melakukan rakaman di luar dan menggunakan mod ENC tinggi (perlu tekan butang kecil atau dari dalam aplikasi), ia tidak mempunyai prestasi yang konsisten. Kebanyakan sesi rakaman kami, hasil rakaman menjadikan suara seakan dijana dengan AI atau mempunyai kesan artifak. Disebabkan itu kami kerap menggunakan mod lalai dan jika ada gangguan hingar, aplikasi Adobe Premiere Pro boleh menyucikan rakaman audio tadi.
Masalah banyak berlaku apabila menggunakan penerima USB-C. Ini kerana ia tidak mempunyai prestasi sebaik penerima kamera. Lebih-lebih lagi apabila ia disambungkan pada peranti mercu Android keluaran China, audio kadangkala akan menjadi terlampau perlahan. Kadangkala algoritma dari dalam aplikasi kamera peranti turut menjadi punca Cubaan pada Google Pixel 9 Pro XL dan iPhone 16 tiada masalah serius selain kelantangan audio.
Perkara penting yang tidak boleh dilupakan adalah jarak antara pemakai mikrofon dan kamera, tidak menjadi masalah jika ia sejauh 300 meter. Kalau ada orang lalu lalang pun ia tidak memberi sebarang gangguan.
Isu paling serius saya hadapi adalah mikrofon tidak boleh digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Beberapa bulan lepas berlakunya satu insiden, di mana saya bertugas di Dubai ketika cuaca mencecah suhu 35 darjah. LARK M2 saya terus secara perlahan baterinya terus mati dan sehingga hari ini satu mikrofon tidak lagi boleh digunakan. Syukur, ada set tambahan dan jaminan satu tahun yang membolehkan set saya ini dibaiki atau diganti.
BATERI
Dari segi ketahanan bateri, LARK M2 secara rasmi menyokong sehingga 10 jam untuk penerima pada kamera dan sehingga 9 jam untuk mikrofon. Kemudian pod pengecas pula dijanjikan boleh bertahan sehingga 3x pengecasan penuh. Sepanjang berbulan penggunaan, ketahanan bateri yang saya dapat setaraf dengan apa yang Hollyland janjikan.
Cuma apa yang saya tidak gemar adalah ia tidak menyokong pengecasan pantas. Setiap unit yang perlu dicas mengambil masa berjumlah 1 jam 30 minit untuk penuh. Jika cas separuh jalan, ketahanan bateri sangat tidak dijamin.
APA ADA DALAM KOTAK?
2x Unit pemancar (magnet tersedia pada setiap satu)
1xUnit penerima kamera
1x Unite penerima USB-C
1x Unit penerima Lightning
1x Pod pengecas
1x Kabel USB-C
1x Kabel bicu audio 3.5mm
2x Bulu dead cat
2x Rantai bermagnet
2x Sepit bermagnet
1x Kantung penyimpan
KESIMPULAN
Untuk set mikrofon nirwayar mudah alih lavalier bersaiz kompak seperti ini, ia tidak dinafikan adalah antara yang terbaik di pasaran untuk tahun 2024. Lagi-lagi dengan harga jualan kombo kamera RM699 (boleh dibeli pada harga RM549 di kebanyakan kedai), sukar untuk saya cadangkan mikrofon lain dalam kelas yang sama. Sudah hampir setahun menggunakannya sebagai mikrofon utama untuk video-video di Amanz, LARK M2 telah membuka telinga kami untuk mendengar yang jenama yang mungkin jarang didengari berbanding Rode, Saramonic atau DJI – adalah boleh dipercayai.
Jika anda ingin mula berkecimpung dalam industri mencipta kandungan, Hollyland LARK M2 adalah kit pemula wajib dimiliki. Saya tidak sabar untuk nantikan versi seterusnya, mana tahu masalah pada ENC akan dibaiki?
PRO DAN KELEBIHAN
- Kualiti audio menarik untuk saiznya.
- Menyokong rakaman audio stereo.
- Saiz kecil dan kompak yang mudah untuk dibawa ke mana sahaja.
- Ketahanan bateri yang sangat lama.
- Penggunaan fleksibel sama ada sepit atau magnet.
- Harga mampu milik tetapi lengkap dengan pelbagai aksesori
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Mod ENC tidak mempunyai audio yang enak.
- Pod pengecas tidak boleh menyimpan penerima USB-C/Lightning
- Tiada ciri menyimpan audio sebagai sandaran.
- Tiada pengecasan pantas.
- Kantung penyimpan tidak memberi keyakinan, aksesori kecil selamat disimpan.