GrabMaps merupakan penyelesaian pemetaan yang disediakan oleh Grab kepada para pengguna dan juga penghantar mereka. Menariknya, selain data yang lebih terkini dikemaskini melalui pelbagai kaedah, GrabMaps juga telah mula mengintegrasikan sokongan pemetaan dalam bangunan, terutamanya pasaraya.
Dengan langkah ini, ia memudahkan para penghantar makanan dalam mencari destinasi yang dituju di dalam sesuatu bangunan. Menariknya, akses untuk GrabMaps ini turut tersedia untuk pengguna, memudahkan anda untuk mencari sesuatu lokasi dengan mudah – sebagai contoh surau atau tandas terdekat.
Grab melalui aplikasi mereka melabelkan ciri ini sebagai GrabMaps Indoor, dan mengatakan ia masih pada peringkat beta. Antara lokasi yang disokong buat masa ini adalah Sunway Velocity, Pavilion Kuala Lumpur, Berjaya Times Square, Suria KLCC, Sunway Putra Mall, Melawati Mall, The Mines, Pasar Besar TTDI, 3 Damansara, 1 Utama, IOI City Mall, Sunway Pyramid, Pasar Borong Selangor dan DPulze Shopping Mall.