Kebanyakan perkhidmatan AI generatif yang berada di pasaran sekarang percuma digunakan. Walau bagaimanapun, untuk benar-benar memanfaatkan kemampuan teknologi kecerdasan buatan generatif ini banyak yang menawarkan pelan berbayar.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2024/10/iOS-18.2-Apple-Intelligence-scaled.webp)
Untuk Apple, beberapa bulan lepas mereka dilaporkan ada bercadang untuk memperkenalkan pelan berbayar Apple Intelligence. Dalam pelan ini, ciri-ciri sedia ada akan kekal percuma tetapi ciri baharu yang menarik mungkin akan dikenakan bayaran. Namun, menurut Tim Cook dalam temuramah bersama WIRED – Apple tidak pernah merancang untuk mengenakan bayaran kepada ciri-ciri AI mereka.
Sebaliknya, Apple memandang ciri AI ini seperti teknologi skrin sesentuh iaitu satu revolusi baharu untuk telefon pintar dan tablet moden. Jadi bagaimana Apple akan membuat duit dengan AI? Pernah dilaporkan Apple akan menawarkan gedung aplikasi AI, atau mungkin ciri-ciri berbayar yang Apple sedia tawarkan seperti iCloud+, Apple TV+ dan lain-lain yang akan diintegrasikan dengan AI.