Honda Motor dan Nissan Motor hari ini mengumumkan perancangan mereka untuk mengabungkan syarikat, dan akan menubuhkan syarikat induk usahasama baharu menjelang Ogos 2026 kelak. Bersama pengumuman ini, kini kedua-dua syarikat telah mulakan perbincangan untuk mengintegrasikan kedua-dua perniagaan dibawah syarikat induk baharu – dan jikalau semuanya berjalan lancar, kita akan melihat gergasi automotif baharu terbentuk.
Walaupun bergabung, kedua-dua jenama Honda dan Nissan akan dikekalkan seperti pada hari ini.
Menurut Honda, sekiranya gabungan ini berhasil, maka mereka akan melihat integrasi pada sumber pengurusan, sumber manusia, dan teknologi – sekaligus membawa kepada sinergi lebih baik, dan membawa kepada nilai korporat jangka masa panjang.
Dengan pengabungan ini, kedua-dua syarikat ingin memacu pembangunan ke arah elektrik, disamping integrasi perisian yang lebih baik – membolehkan mereka bersaing dengan efektif bersama pelbagai pesaing global lain, terutamanya dari China.
Untuk fasa seterusnya, kedua-dua pihak akan membentuk jawatankuasa khusus untuk melihat integrasi kedua-dua perniagaan dan syarikat sebelum memulakan perbincangan lanjut yang melibatkan gabungan, nyah-senarai saham, dan pembentukkan syarikat induk baharu.