Carian
Ukraine Melatih AI Menggunakan Rakaman Video Serangan Dron Sepanjang 228 Tahun
December 24, 2024 Effi Saharudin

Konflik Ukraine Rusia telah berlarutan lebih dua tahun dan satu fenomena aneh yang muncul daripada medan perang ialah rakaman video serangan dron ke atas askar Rusia. Unit dron FPV Ukraine digunakan untuk memusnahkan kereta kebal, kereta perisai, pelancar roket, dan memburu askar Rusia di lapangan. Ia membuktikan kepada dunia dron amat efektif di medan perang tetapi juga menjadi senjata yang boleh memusnahkan moral musuh kerana video kematian yang ngeri dikongsi ke media sosial.

Kesemua rakaman video serangan dron Ukraine kini mempunyai fungsi sekunder untuk melatih model kecerdasan buatan (AI). Menurut laporan Reuters, Ukraine mempunyai rakaman video sepanjang 2 juta jam atau bersamaan 228 tahun yang kini melatih model AI yang kemudiannya akan digunakan untuk mengesan kehadiran senjata dan anggota tentera musuh. Setiap hari, data video sebesar 6 terabyte ditambah kepada pangkalan data untuk melatih model AI.

Sistem OCHI yang digunakan sekarang memantau operasi 15,000 dron di medan perang. Apabila dipadankan dengan AI, ia kemudiannya akan memberitahu operator kewujudan musuh serangan boleh dilakukan tanpa manusia melakukan pemantauan secara manual.

Di masa hadapan AI yang dibangunkan ini boleh memberikan saranan taktik peperangan, pengesanan sasaran, mengawal dron secara berkumpulan dan melihat keberkesanan sistem senjata yang digunakan. Ukraine berkata beberapa negara sekutu menyatakan minat untuk menggunakan AI yang dibangunkan mereka untuk sistem senjata sendiri.

Komen