Meningkatkan tarif ke atas import produk keluaran China adalah antara agenda utama Presiden Donald Trump bermula tahun depan. Alasan yang diberikan ialah untuk melindungi kepentingan industri tempatan. Kini pentadbiran Presiden Biden memulakan siasatan baharu ke atas industri semikonduktor China yang mengeluarkan cip generasi terdahulu.
Dalam siasatan yang dilakukan, sebanyak 2/3 syarikat tempatan menggunakan cip lama yang diimport daripada China. Cip ini digunakan pada mesin basuh, kenderaan, kelengkapan telekomunikasi dan juga sesetengah peralatan ketenteraan. Lebih daripada separuh pengeluar mengatakan tidak mengetahui asal usul cip yang digunakan pada produk mereka.
Amerika Syarikat mengatakan pengeluaran cip legasi di China menerima bantuan kerajaan yang akan mendatangkan impak kepada pengeluar lain yang tidak boleh bersaing dengan harga rendah yang ditawarkan. Selepas siasatan dijalankan, ia membuka ruang kepada Presiden Trump untuk mengenakan tarif sehingga 60% ke atas import cip China ke Amerika Syarikat.
Kementerian perdagangan China mengeluarkan kenyataan mengatakan siasatan cip adalah tindakan yang akan menjejaskan firma Amerika dan mengganggu rantaian bekalan cip global. Beijing akan mengambil semua langkah yang perlu untuk mempertahankan hak dan kepentingannya.