Penduduk Vietnam perlu melakukan pengesahan identiti sebenar mereka bermula esok 25 Disember sebelum dibenarkan menggunakan platform media sosial. Menerusi Dekri 147 di bawah RUU sekuriti siber Vietnam pengesahan identiti dilakukan menerusi nombor telefon, atau kad pengenalan nasional. Pemilik platform media sosial pula akan menyimpan identiti sebenar pengguna serta tarikh lahir mereka.
Sekiranya kerajaan menemukan muatan yang dirasakan melanggar undang-undang, pengendali perlu membuangnya dalam masa 24 jam. Identiti pengguna yang memuat naik kandungan tersebut kemudiannya perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk dikenakan tindakan. Arahan ini bukan sahaja wajib ke atas warganegara Vietnam tetapi juga ke atas semua penduduk yang menggunakan perkhidmatan di dalam negara.
Dekri 147 dilihat sebagai usaha kerajaan untuk menentang hak kebebasan suara khususnya dalam mengkritik polisi yang dilihat tidak adil. Negara tersebut sudahpun memenjarakan dan menahan beberapa pemilik saluran YouTube dan blogger kerana melanggar undang-undang negara.
Selain mengehadkan kebebasan bersuara, Dekri 147 juga akan mewajibkan pengendali permainan video untuk menghadkan sesi permainan berterusan kepada satu jam sahaja buat pengguna bawah umur. Had permainan sepanjang hari pula ditetapkan kepada 3 jam sahaja. Langkah ini mirip yang dilakukan di China atas tujuan mengelakkan ketagihan permua dalam kalangan pengguna bawah umur.