Carian
Encyclopedia Britannica Kini Menjadi Sebuah Syarikat AI
December 24, 2024 Effi Saharudin

Encyclopedia Britannica menerbitkan ensiklopedia bercetak sejak 1768 sebelum ia dihentikan pada tahun 2012. Sejak 2012 ensiklopedia mereka hanya ditawarkan secara atas talian seperti Wikipedia tetapi dengan maklumat yang disahkan terlebih dahulu. Untuk terus kekal relevan, Encyclopedia Britannica kini menawarkan perisian untuk pendidikan. Bermula tahun ini, ia juga memasuki arena kecerdasan buatan (AI).

Menggunakan kandungan sedia ada, Britannica yang merupakan syarikat induk yang memiliki hak untuk Encyclopedia Britannica dan tesaurus Merriam-Webster telah melatih AI yang boleh dijadikan tutor untuk mengajar kanak-kanak. Ia juga boleh membantu golongan guru untuk menghasilkan pelan pelajaran dalam kelas. Pada ketika ini chatbot dengan AI ini hanya menyokong Bahasa Inggeris.

AI generatif yang dibangunkan juga digunakan untuk memudahkan penggunaan tesaurus Merriam-Webster yang boleh memahami frasa lebih panjang dan bukan sekadar perkataan. Ini ialah evolusi seterusnya buat Britannica yang sebelum ini menawarkan perisian mengajar kepada institusi pendidikan selepas permintaan untuk kamus bercetak merosot disebabkan pengenalan internet.

Komen