ASUS dan NVIDIA akan membuat banyak pengumuman besar sewaktu acara CES 2025 yang akan berlangsung tidak lama lagi. NVIDIA dijan, gka akan memperlihatkan siri kad grafik GeForce RTX 5000 mereka yang terbaru, manakala ASUS pula akan memperlihatkan banyak penawaraan peranti dan aksesori gaming baru di acara sama.
Akan tetapi, baru-baru ini terdapat sejumlah penawaran komputer riba daripada ASUS ROG yang telah tertiris ke arena web, dan ia memperlihatkan gabungan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200HX yang akan diperkenalkan di acara tersebut dan juga siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000, termasuklah GeForce RTX 5090, GeForce RTX 5080 dan NVIDIA GeForce RTX 5070Ti.
Komputer-komputer riba yang tertiris termasuklah ASUS ROG Strix G835 yang tampil dengan spesifikasi paling berkuasa, termasuklah Intel Core Ultra 9 275HX, 64GB memori DDR5 dan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5090. Ia juga dikatakan hadir dengan paparan skrin 18 inci dengan nilai kecerahan setinggi 1200 nit.
ASUS ROG Zephyrus G605 pula dilihat akan hadir dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 285H dengan memori LPDDR5X sebanyak 64GB. Ia juga merumahkan sebuah paparan skrin 16 inci OLED dengan resolusi 2048×1536,dengan pilihan kad grafik yang termasuklah NVIDIA GeForce RTX 5090, NVIDIA GeForce RTX 5080 dan NVIDIA GeForce RTX 5070Ti.
Butiran-butiran ini tertiris di X/Twitter oleh pengguna Huang514613 yang meniriskan kebanyakan spesifikasi komputer-komputer riba ini, termasuklah beberapa model lain seperti ASUS ROG Strix Scar 18 dan ASUS ROG Strix G16 juga.
Apa yang menarik mengenai tirisan maklumat terbaru ini ialah NVIDIA tidak dijangka memperkenalkan kad grafik untuk komputer riba mereka di acara CES 2025. Untuk ASUS, mereka dijangka akan memperlihatkan komputer-komputer riba ini lebih awal, tetapi secara lazimnya jualan komputer riba mereka hanya akan bermula sekitar pertengahan tahun, sekitar acara Computex Taipei yang secara lazimnya berlaku pada penghujung bulan Mei atau awal bulan Jun.
Komputer-komputer riba ini juga dilaporkan tertiris melalui gedung atas talian di Rusia. Walaupun ASUS telah mengurangkan operasi mereka di negara tersebut akibat pelbagai sekatan ekonomi dan teknologi, mereka nampaknya masih lagi menjual produk-produk pengguna di negara tersebut, dan laporan mengatakan bahawa komputer-komputer riba ini dijangka akan mula dijual sekitar musim bunga 2025.