Diantara produk yang paling banyak tertiris sebelum acara CES 2025, Lenovo Legion Go S boleh dikatakan adalah salah satu daripada produk yang paling banyak diperlihatkan di arena web.
Ia telah disahkan bahawa Lenovo akan memperkenalkan tiga produk Lenovo Legion Go di acara tersebut, termasuklah Lenovo Legion Go 2, Lenovo Legion Go S dan Lenovo Legion Go S yang dikuasakan sistem operasi SteamOS.
Terkini, butiran penuh mengenai konsol Lenovo Legion Go S telah tertiris, termasuklah butiran spesifikasi dan juga gambar pemasaran produk tersebut. Bermula dengan spesifikasi konsol tersebut, ia kini sah akan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Go yang menggunakan gabungan teras Intel Zen 3 dan juga cip pemprosesan grafik AMD Radeon 800M yang menggunakan teknologi AMD RDNA2.
Lenovo Legion Go S juga dilihat hadir dengan pilihan memori 16GB ataupun 32GB LPDDR5X dan storan SSD PCIe sebesar 512GB dan 1TB bergantung kepada model yang dipilih.
Dari segi rekaan peranti, imej olokan yang diperlihatkan sebelum ini adalah tepat dan tidak berubah berbanding sebelum ini. Ia tampil dengan paparan skrin IPS bersaiz 8.0 inci dengan resolusi 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 dan tampil dengan nilai kecerahan paparan sekitar 500 nit.
Lenovo Legion Go S akan diperkenalkan bersama-sama produk-produk Lenovo lain sewaktu acara CES 2025 kelak.