Sebuah lagi komputer riba yang akan menggunakan cip pemprosesan APU AMD Ryzen Strix Halo telah tertiris ke arena web, dan ia adalah sebuah penawaran daripada HP, iaitu HP EliteBook X G1a yang nampaknya akan hadir dengan dua pilihan APU, termasuklah AMD Ryzen AI Max+ Pro 395 dan AMD Ryzen AI Max+ Pro 390.
Butiran ini dapat diperlihatkan melalui laman web Energy Star, iaitu sebuah program untuk mengesahkan kecekapan penggunaan tenaga elektrik yang dibangunkan oleh kerajaan Amerika Syarikat melalui Environemental Protection Agency.
Komputer riba HP EliteBook X G1a ini dilihat tampil dengan paparan skrin 14 inci yang tidak mempunyai ciri sesentuh mahupun ciri sambungan kabel Ethernet menurut laman web tersebut. Apa yang diketahui buat masa ini ialah butiran cip pemprosesan AMD Ryzen AI Max+ Pro 395, yang mengesahkannya mempunyai 16 teras fizikal dan kelajuan asas 2.9GHz.
Ia juga boleh hadir dengan jumlah memori DDR5/LPDDR5 sebanyak 128GB bergantung kepada konfigurasi komputer riba yang ditawarkan. Dari segi penggunaan kuasa, ia menggunakan kuasa elektrik serendah 1.0W apabila dalam Sleep Mode dan menggunakan sebanyak 12.1W apabila diaktifkan dalam keadaan penggunaan biasa.
Satu lagi komputer riba yang dilihat akan menggunakan cip pemprosesan yang sama ialah ASUS ROG Z Flow 13 yang juga akan diperlihatkan sewaktu acara CES 2025 yang akan berlangsung tidak lama lagi.