Pada bulan lepas, kami telah melaporkan bahawa sebuah kapal laut dari China telah ditahan oleh pihak berkuasa di Eropah kerana disyaki merosakkan kabel dasar laut di rantau tersebut. Terkini, terdapat laporan bahawa sebuah lagi kapal laut yang juga telah ditahan oleh pihak berkuasa di rantau tersebut kerana kesalahan yang sama.
Pihak berkuasa Finland telah menahan dan menaiki sebuah kapal laut bernama Eagle S yang membawa muatan minyak baru-baru ini kerana disyaki merosakkan kabel dasar laut Estlink 2 dan tiga lagi kabel dasar laut yang lain pada Hari Krismas baru-baru ini.
Kapal tersebut dilaporkan dimiliki oleh syarikat Caravella LLCFZ yang berpengkalan di Emiriyah Arab Bersatu, dan didapati membawa muatan minyak dari Rusia ke Mesir, dan rekod awam memperlihatkan kapal tersebut berada di atas landasan kabel dasar laut tersebut sewaktu insiden ini berlaku.
Eagle S juga disyaki merupakan sebahagian daripada sekumpulan kapal-kapal usang yang dimiliki syarikat-syarikat Rusia yang berdaftar di luar negara sebagai satu cara untuk negara tersebut melepasi sekatan ekonomi dan perdagangan yang dikenakan keatas negara tersebut.
Pihak berkuasa Eropah mengatakan bahawa insiden-insiden berkaitan kabel dasar laut ini semakin kerap berlaku, dan menyebabkan isu sambungan internet yang semakin teruk, khususnya diantara rantau-rantau seperti Eropah dan Amerika Selatan. Jika berterusan, mereka akan perlu mengetatkan keselamatan di laluan-laluan laut dimana kabel dasar laut ini dipasang, dan akan perlu mengenakan saman ataupun hukuman yang lebih berat sekiranya ia berlaku lagi.