Carian
Razer Blade 18 Terbaru Akan Hadir Dengan Cip Intel Arrow Lake HX Dan Kad Grafik NVIDIA Kelas Desktop
December 27, 2024 Nazrin

Razer dijangka akan memperlihatkan produk-produk gaming terbaru di acara CES 2025 tidak lama lagi, dan ada kemungkinan bahawa salah satu daripada produk-produk tersebut ialah sebuah komputer riba Razer Blade 18.

Butiran mengenai komputer riba tersebut telah tertiris melalui laman web penanda-aras CPU Geekbench, yang memperlihatkan spesifikasi cip pemprosesan Razer Blade 18 ini. Model yang diuji dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 275 HX dan hadir dengan memori DDR5 sebanyak 64GB.

Apa yang lebih menarik mengenai komputer riba ini ialah ia juga dilaporkan hadir menggunakan sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4090. Apa yang mengejutkan mengenai ini ialah ia merupakan sebuah kad grafik RTX 4090 kelas desktop yang sangat berkuasa.

Buktinya dapat diperlihatkan pada butiran yang diperlihatkan pada tangkapan layar Geekbench yang memperlihatkan penggunaan memori GDDR6X sebanyak 24GB, dimana variasi untuk komputer riba menggunakan 16GB memori GDDR6.

Ini tidak bermakna bahawa sebuah kad grafik kelas desktop telah dimuatkan didalam komputer riba tersebut, tetapi mungkin Razer akan memperkenalkan dermaga GPU baru menggunakan sambungan Thunderbolt 4 ataupun Thunderbolt 5 yang baru.

Ini dapat disimpulkan melalui skor penanda-aras grafik OpenCL yang memperlihatkan skor 241,793 kerana skor kad grafik tersebut apabila dipasang pada komputer desktop secara lazimnya memperlihatkan skor melangkaui 340,000.

Butiran lain tidak diketahui lagi, tetapi sama seperti komputer riba Razer Blade 18 sebelum ini, ia akan hadir dengan paparan skrin gergasi bersaiz 18.0 inci dengan kadar segar semula dan nilai kecerahan yang tinggi.

Komen