Carian
Ulasan Honda CR-V RS e:HEV – Tangki Penuh Boleh Pergi Lebih 800KM
December 30, 2024 Ikhwan Nazri

Sewaktu artikel ini ditulis pada akhir 2024, rakyat Malaysia secara amnya sedang bersedia untuk perancangan subsidi petrol bersasar pada tahun 2025, dan kini telah mempunyai pelbagai pilihan untuk kenderaan yang menjimatkan penggunaan petrol, baik dari segi tidak menggunakan petrol secara terus (menggunakan bateri sepenuhnya), berjenis PHEV (Plug-in Hybrid Electric Vehicle) atau yang berjenis HEV ( Hybrid Electric Vehicle). Sedangkan kenderaan elektrik mempunyai cabarannya sendiri, kenderaan hibrid dilihat berpotensi memberikan bukan sahaja penjimatan, bahkan pelbagai teknologi yang turut hadir bersamanya. 

Honda Malaysia telahpun menawarkan siri Hybrid mereka dari siri terdahulu lagi sehinggalah sekarang. Untuk akhir 2024 ini saya berkesempatan memandu Honda CR-V RS e:HEV pada akhir minggu dan membawanya sehingga ke Johor Bahru bagi mencuba sendiri penjimatan penggunaan petrol menerusi teknologi enjin mereka yang terkini iaitu i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive). 

Sifat Fizikal Dan Rekabentuk

Honda CR-V RS e:HEV ini yang merupakan generasi ke-6 ini mempunyai saiz yang agak besar, dan turut menawarkan ruang dalaman yang luas dan selesa. Dari segi luaran ia tampak garang dan kali ini tiada lagi sebarang kemasan krom melintang pada kekisi radiator, sebaliknya kemasan hitam yang menyerlahkan lagi logo Honda dengan sedikit kemasan biru bagi menandakan versi e:HEV yang mesra alam.

Untuk versi ini terdapatnya saluran pengudaraan yang akan dibuka, untuk penyejukan enjin. Lampu penunjuk isyaratnya juga hadir dengan animasi yang menunjukkan arah isyarat kenderaan ini akan menghala, menambah lagi gaya, mutu, dan keunggulan SUV ini. 

Lampu belakangnya pula diberikan sentuhan terkini, dengan belahan sisi yang boleh menggapai bumbung. Ia turut mempunyai but yang boleh dibuka secara automatik baik menerusi menekan butang, atau dengan cara mengayunkan kaki di bawah but belakang. Dengan kapasiti storan 589 liter, pengguna tidak akan menghadapi masalah untuk membawa sebarang barangan bersama untuk apa jua tugasan. 

Meskipun saiz kenderaan ini besar, ia juga dilengkapi dengan kamera 360 darjah yang boleh membantu pengguna untuk urusan parkir. Pengguna juga boleh mengaktifkan kamera ini yang terletak pada tangkai pembersihan cermin.

Terdapat juga fungsi Honda Lanewatch yang membolehkan pengguna melihat kenderaan yang mungkin terdapat pada titik buta di sebelah kiri kenderaan pada paparan utama kenderaan, dan menekan butang tersebut untuk menyahaktifkan fungsi tersebut sekiranya ingin melihat peta.

Dari segi ruang dalaman, Honda CR-V RS e:HEV ini sarat dengan pelbagai kawalan serta fungsi. Pujian harus diberikan untuk paparan pemuka pemanduan bersaiz 10.25-inci dimana banyak maklumat yang dipaparkan, dan pemandu turut boleh memilih maklumat yang diinginkan. Pemandu juga boleh menetapkan kedudukan serta posisi kerusi pemanduan, dengan adanya butang automatik yang boleh menyimpan tetapan, serta sistem sokongan tulang belakang yang boleh memberi keselesaan kepada pemandu jika memandu untuk jarak jauh. 

Terdapat juga paparan Honda Sensing dalam panel ini, dan turut diimbuhkan menerusi paparan HUD bagi memudahkan pemanduan. Khusus untuk model ini, terdapatnya ‘paddle shifters’ yang berfungsi untuk menaikkan dan menurunkan tahap pembrekan janaan semula, membolehkan bateri dicaj lebih cepat bergantung kepada tahap yang dipilih. 

Untuk keselesan semua penumpang dan juga pemandu, sistem pendingin hawa turut membolehkan tetapan suhu berbeza untuk pemandu dan penumpang hadapan, serta terdapatnya saluran pendingin hawa untuk penumpang belakang. Paparan bersaiz 9-inci ini turut boleh ditambat dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta turut menyokong tambatan Apple CarPlay secara nirwayar.  Menambah lagi pengalaman hiburan di dalam kereta ini adalah 12 pembesar suaraBOSE, dan bagi saya kualiti audio yang diberikan sangat berprestij, seiring harga kereta ini. 

Di bahagian belakang pula penumpang akan turut boleh mengecas peranti mereka menggunakan 2 palam USB-C. Malah kerusi penumpang belakang boleh diubah sudut kecondongan, dan ini memberikan keselesaan yang lebih jika penumpang belakang ingin tidur, atau terpaksa mencondongkan tempat duduk untuk penumpang lebih tinggi. 

Manfaat Enjin i-MMD Yang Menjimatkan Penggunaan Petrol

Sekitar tahun 2014 saya sempat mencuba Honda Jazz Hybrid milik ahli keluarga dan pada waktu tersebut, enjin hibrid yang digunakan adalah IMA (Integrated Motor Assist). Berbeza sekali antara IMA dan i-MMD adalah dari konsep hibridnya sendiri. Jazz Hybrid dengan enjin IMA mempunyai kombinasi penggunaan elektrik dan petrol akan tetapi pada CR-V RS e:HEV dengan enjin i-MMD ini, pada kebanyakan masa pengguna akan memecut menggunakan tenaga motor elektrik, dan hanya pada kelajuan yang lebih tinggi, akan menggunakan kuasa enjin petrol.

Enjin Honda CR-V RS e:HEV ini turut dipasangkan dengan bateri bersaiz 1.06 kWh yang akan dicaj apabila bateri berada pada tahap sekitar 20% yang boleh dikira berdasarkan penunjuk pada papan pemuka. Bateri ini juga akan dicaj menerusi pembrekan janaan semula dan apabila bateri dicaj penuh, pemandu akan dapat melihat status pemanduan berlabel ‘EV’ apabila kenderaan ini menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

Perlu diingatkan yang mana petrol yang diisi mempunyai keutamaan untuk digunakan sebagai bahan bakar janakuasa elektrik yang terdapat pada enjin i-MMD ini. Hanya apabila kenderaan mencapai kelajuan yang lebih tinggi, petrol tersebut akan digunakan terus sebagai bahan bakar enjin petrol kerana nisbah penggunaan tenaga yang lebih efisien. Akan tetapi sekiranya sistem pemanduan mengetahui terdapatnya situasi yang tenaga elektrik boleh diberikan, ia akan menukar pemanduan dan saya sendiri dapat melihat pada kelajuan 116 km/j label EV bernyala, menandakan saya dalam kelajuan yang efisien.

Kesemua proses ini diperlihatkan menerusi papan pemuka bersaiz 10.25-inci, dimana terdapatnya gambarajah penggunaan tenaga yang memperlihatkan peralihan tenaga. Pemandu boleh melihat sekiranya kereta sedang bergerak sepenuhnya menggunakan kuasa elektrik, atau menggunakan enjin petrol. Malah ada masanya saya turut melihat situasi dimana saya sedang menggunakan kuasa petrol, akan tetapi turut mengecas bateri pada masa yang sama. 

Kombinasi penggunaan elektrik dan petrol ini memberikan kuasa petrol 148 PS dengan 188 Nm tork, dan kuasa elektrik sebanyak 184 PS dan 335 tork, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j boleh dicapai sepantas 9 saat. Apa yang saya dapati sepanjang pemanduan saya sekitar 1,032 km ini, walaupun CR-V ini agak besar, ia masih lincah dan memberikan pemanduan responsif.

Dari Kuala Lumpur ke Johor, kemudian sewaktu pulang ke Kuala Lumpur, isian semula yang saya lakukan adalah di Kawasan Rehat Pagoh Menghala Utara, dan pada waktu tersebut, saya telahpun memandu sejauh 818 KM dengan purata penggunaan petrol adalah 5.6L / 100km. Ini merupakan jarak paling jauh untuk rekod peribadi saya memandu dengan isian tangki penuh, dan dengan kelajuan serta gaya memandu yang menjadi kebiasaan saya. Pengisian penuh pula adalah sebanyak RM 100.82, iaitu bersamaan 49 liter. Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Economy, Normal, dan Sport dan untuk keseluruhan ulasan ini saya memandu dalam mod Economy.

Dan kali ini, berbeza dengan pengalaman pemanduan singkat sebelum ini, saya telah dapat mencuba B-mode dengan lebih lama sewaktu memandu di bandar. Menggunakan B-Mode akan membuatkan keutamaan penggunaan enjin i-MMD lebih ke arah penggunaan bateri. Jadi enjin janakuasa akan bekerja keras untuk menjana tenaga bateri yang lebih, dan pergerakan kereta akan menggunakan kuasa bateri. Dengan B-Mode juga saya dapati pembrekan janaan semula akan lebih kerap, bagi menjana semula tenaga bateri. 

Keupayaan Honda Sensing

Memandu Honda CR-V RS e:HEV dalam 5 hari tersebut juga membolehkan saya mencuba Honda Sensing dalam pelbagai situasi. Saya telah mencuba dalam keadaan kesesakan lalu lintas dan juga di lebuh raya. Bagi saya sistem swapandu tahap 2 Honda Sensing ini mempunyai kelainan dari segi pengesanan dan cara ia berfungsi. 

Sistem Honda Sensing turut berupaya membezakan saiz kenderaan di hadapan. Sekiranya anda sedang mengikuti lori, jelas ikon lori akan terpapar, dan begitu juga jika anda sedang mengikuti kenderaan kecil. Sistem ini juga membolehkan anda menentukan jarak dengan kereta hadapan, dan berupaya mengesan kereta yang cuba menyelit di hadapan anda, dan melakukan pergerakan yang harus bagi memberikan ruang, dan meneruskan perjalanan. 

Dan kesemua fungsi Honda Sensing ini turut dipaparkan menerusi paparan terimbuh HUD, dimana pengguna dengan jelas akan dapat melihat sekiranya fungsi Adaptive Cruise Control sedang diaktifkan tanpa perlu mengalihkan pandangan dari pemanduan.

Pilih Hibrid Berbanding EV?

Sepanjang 5 hari dengan jumlah pemanduan 1,032KM ini memberikan saya peluang untuk memahami kenderaan hibrid dengan lebih dekat. Salah satu perkara yang sememangnya memberikan perbezaan ketara adalah penjimatan tenaga dengan penggunaan isian penuh minyak petrol yang dapat memberikan penggunaan sehingga 818 KM dengan perjalanan berbaki sekitar 30KM. Namun begitu bagi anda yang cuba membandingkan pengalaman hibrid dan kereta elektrik, pengalamannya tidaklah sama kerana penghasilan tenaga menerusi enjin akan mengambil masa sebelum dijadikan tenaga kinetik, berbanding kereta elektrik yang boleh memecut 0-100km/j dalam tempoh kurang dari 5 saat. 

Namun begitu, manfaat dari sifat hibrid Honda CR-V RS e:HEV ini juga boleh dirasa bermula dari anda menghidupkan enjin. Tiada bunyi enjin kedengaran, melainkan jika tahap bateri berada di bawah 20%. Dan pabila anda mula memandu, anda akan bermula dalam EV mode, sebelum mencapai kelajuan lebih tinggi dan enjin petrol akan diaktifkan bagi memberi tenaga secara terus. Tidak dilupakan adalah ketersediaan petrol dimana-mana kawasan, tanpa memerlukan anda untuk mengecas bateri elektrik, adalah kunci utama yang memudahkan anda untuk merasai sedikit manfaat teknologi bateri dalam sistem pemanduan hibrid.

Pada harga RM 195,900, Honda CR-V RS e:HEV ini akan bersaing dengan pelbagai kereta elektrik mahupun SUV dalam kelas petrolnya yang tersendiri. Namun dengan penjimatan tenaga dan juga penggunaan petrol, ia pastinya menarik minat pembeli yang ingin memilih kenderaan dengan penjimatan tenaga yang tinggi, dan sarat dengan kecanggihan teknologi. 

Komen