Carian
Peranti Terbaik Amanz 2024
December 30, 2024 Penulis Tamu

Tahun 2024 akan berakhir dengan dua lagi kitaran bumi dan setiap tahun adalah menjadi kewajipan untuk kami terbitkan senarai peranti terbaik sepanjang tahun ini. Tetapi kali ini kami lakukan kelainan dimana setiap editor akan memberikan pendapat peribadi peranti mercu terbaik mereka. Sebab ini dilakukan adalah kerana markah bukan segalanya.

Ada peranti yang diulas awal tahun kurang memuaskan tetapi selepas dikemaskini ia menjadi sangat berbaloi dan wujud juga sebaliknya. Baiklah ini dia senarai daripada editor kami Effi Saharudin, Fahim Zahar, Amy Maizura dan Nazrin Zain.


Kriteria Pemilihan

  • Telah diulas di Amanz.
  • Terbaik dalam kategori masing-masing.
  • Kelas mercu.
  • Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia antara pertengahan Disember 2023 hingga pertengahan Disember 2024

PERANTI MERCU TERBAIK 2024

Samsung Galaxy S24 Ultra – Effi Saharudin

Tahun ini ialah tahun yang dipenuhi dengan pelancaran banyak peranti kelas mercu yang menakjubkan. Bateri tahan seharian, pemprosesan kuasa tinggi dan kemampuan kamera yang menakjubkan menjadi pertaruhan setiap jenama. Saya memilih Samsung Galaxy S24 Ultra kerana ia menawarkan beberapa ciri yang tidak ada pada peranti lain seperti sokongan stylus S-Pen, skrin kalis silau terbaik 2024, pemproses berkuasa, menerima sokongan Circle to Search terawal dan peranti akan dikemaskini selama 7 tahun meletakkannya setanding dengan siri Google Pixel dan Apple iPhone.

Mungkin ada yang mengatakan mengapa bukan Pixel 9 Pro XL? Secara peribadi saya merasakan pemproses Tensor G4 yang digunakan adalah mengecewakan dan sekadar setanding pemproses kelas pertengahan. Seterusnya Pixel yang menggunakan Android asli kehilangan pelbagai ciri tambahan yang saya sudah biasa gunakan pada peranti Samsung. Saya tak boleh hidup tanpa Side Panel dan kawalan kamera dengan telapak tangan. Atas sebab inilah saya meletakkan Samsung Galaxy S24 Ultra sebagai peranti terbaik 2024.

Spesifikasi: 6.8” Dynamic LTPO AMOLED 2X, QHD+, 120Hz, Snapdragon 8 Gen 3 (4nm) (1X Cortex X4 3.39 GHz + 3X Cortex-A720 3.1 GHz + 2X Cortex-A720 2.9 GHz + 2X A520 2.2 GHz), Adreno 750, 12GB RAM, storan 256/512/1000 GB, 200+12+50+10MP (Utama), 12MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), Android 14.

Harga: Bermula RM6299 (12/256GB)


Vivo X200 Pro – Amy Maizura

Saya menggunakan banyak telefon pintar yang hebat pada tahun ini tetapi Vivo X200 Pro paling menjadi kegemaran. Jadi apa yang menjadikan telefon ini istimewa? Pertama sekali sudah tentulah reka bentuk premium dengan bahan berkualiti tinggi. Penggunaan bahan yang berkualiti bukan sahaja meningkatkan ketahanan peranti tetapi memberikan persepsi kualiti yang lebih baik. Kemudian sistem kamera hebat yang terdiri dengan 50MP lebar (23mm) yang menyokong penstabilan OIS dan aperture f/1.6).

Kemudian adanya kamera dengan beberapa mod eksklusif seperti ZEISS Cinematic Video Mode, ZEISS Biotar Portrait Mode, dan lain-lain. Kamera hadapan 32MP juga mampu menarik perhatian peminat gambar swafoto. Prestasi juga mantap melalui cip MediaTek Dimensity 9400 yang berkuasa, dan anda boleh mendapatkan pilihan memori 16GB RAM dan storan dalaman 512G.

Bateri karbon silikon 6000mAh juga sesuai digunakan seharian dan pengecasan pantas diberikan menjadi lebih baik. X200 Pro menjalankan Android 15 terkini dengan Funtouch 15, di mana vivo menjanjikan empat tahun kemas kini Android utama untuk peranti ini.

Spesifikasi: 6.78″ AMOLED, 120Hz, HDR10+, 4500 nits, Dimensity 9400 (3nm) (1×3.63 GHz Cortex-X925, 3×3.3 GHz Cortex-X4 & 4×2.4 GHz Cortex-A720), Immortalis-G925, 16GB RAM, storan dalaman 512GB, 50+50+200MP (Utama), 32MP (Swafoto), 6000 mAh (90W), Android 15.

Harga:  RM4,699 (16/512GB)


Google Pixel 9 Pro XL – Fahim Zahar

Kenapa saya memilih Google Pixel 9 Pro XL sebagai telefon pintar terbaik tahun 2024, sedangkan Ketua Editor Amanz, En. Effi menyatakan ia agak teruk berbanding Samsung Galaxy S24 Ultra? Ini kerana saya sudah “terbeli” dan terpaksa menerimanya (gurau).

Sebenarnya sudah semestinya kerana saya rasa gembira, sebagai pengguna sejak Google Pixel 1 akhirnya kali pertama ia ditawarkan secara rasmi di Malaysia. Kemudian, dengan Pixel saya akan menerima pelbagai ciri Android yang eksklusif dan dapat mencuba ciri baharu secara lebih awal. Kamera Pixel dengan kemampuan potret, Night Sight dan Zoom Enhance juga sangat memuaskan. Tidak lupa yang sokongan kemas kini 7 tahun yang membuatkan peranti pesaing hanya pandang cemburu dan menangis.

Spesifikasi: 6.8” LTPO OLED, QHD+, 120Hz, Tensor G4 (4nm) (1X Cortex X4 3.1 GHz + 3X Cortex-A720 2.6 GHz + 4X Cortex-A520 1.95 GHz), Mali-G715 (MC7), 16GB RAM, storan 128/256 GB, 50+48+48 MP (Utama), 42MP (Swafoto), 5060 mAh (37W), Android 15.

Harga: Bermula RM5699 (16/128GB)


ASUS ROG Phone 9 Pro Edition – Nazrin Zain

Dari segi prestasi, ROG Phone 9 Pro Edition yang saya ulas tidak jauh berbeza apabila dibandingkan dengan model sebelumnya, akan tetapi, apa yang saya benar-benar suka mengenai peranti pintar gaming terbaru ini ialah ASUS telah memperkenalkan fungsi AI terbina yang benar-benar berguna untuk gamer, khususnya untuk peminat tegar permua seperti Genshin Impact, Honkai Star Rail, Mobile Legends dan Honor of Kings.

Ciri X Sense 2.0 memperkenalkan ciri-ciri seperti mempercepatkan dialog dan mengutip barang (berguna untuk pemain Genshin Impact) dan memuatkan skill-skill watak dalam permainan kepada slot yang sepatutnya apabila mereka level up (berguna untuk pemain Mobile Legends dan Honor of Kings).

Fungsi permainan AniMe Play menggunakan paparan AniMe Vision mungkin dilihat sebagai sebuah gimik sahaja, ia adalah sesuatu yang menarik dan baru untuk mana-mana pembuat peranti.

Spesifikasi: 6.78” LTPO AMOLED, FHD+, 185Hz, Snapdragon 8 Elite (3nm) (2X Oryon V2 Phoenix L 4.32 GHz + 6X Oryon V2 Phoenix M 3.53 GHz), Adreno 830, 24GB RAM, storan 1000 GB, 50+32+13MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5800 mAh (65W), Android 15.

Harga: Bermula RM5999 (24/1000GB)

Komen