Intel Mungkin Memperkenalkan Kad Grafik Dengan 24GB VRAM Pada 2025 Kelak
Nazrin
Intel baru sahaja memperkenalkan siri kad grafik Intel Battlemage mereka baru-baru ini dengan pengenalan kad-kad grafik Intel Arc B580 dan Intel Arc B570 yang merupakan kad grafik kelas pertengahan dan mampu milik, dengan Intel Arc B580 dilaporkan tampil dengan prestasi menandingi sebuah kad grafik NVIDIA GeForce RTX 4060 dengan tanda harga lebih rendah.
Kad grafik Intel Arc B580 hadir dengan jumlah memori GDDR6 sebanyak 12GB, manakala Intel Arc B570 pula tampil dengan 10GB VRAM GDDR6.
Baru-baru ini, ia dilaporkan bahawa Intel mempunyai pelan untuk melancarkan sebuah kad grafik Intel Arc Battlemage dengan jumlah memori lebih tinggi, sebanyak 24GB VRAM GDDR6 yang akan diperkenalkan untuk pasaran yang berbeza dengan industri gaming.

Kad grafik tersebut, apabila dilancarkan pada tahun 2025 kelak akan dimanfaatkan untuk sektor profesional, termasuklah untuk pembangunan model bahasaraya kecerdasan buatan dan juga pemprosesan prom untuk AI generatif.
Ia dilaporkan bahawa kad grafik ini akan dimanfaatkan di pusat data, pusat penyelidikan kecerdasan buatan, universiti, kolej dan syarikat-syarikat yang membangunkan teknologi tersebut.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah kad grafik ini akan diperkenalkan, tetapi jangkaannya ialah mungkin sekitar acara Computex Taipei 2025 kelak, dimana Intel juga mungkin akan memperlihatkan produk-produk terbaru mereka seperti siri cip pemprosesan Panther Lake untuk komputer riba nipis dan ringan.
[sumber]Quantum Bits[/sumber]