Carian
Rekaan Lenovo ThinkPad X9 Tertiris – Tidak Lagi Menyertakan Penunjuk TrackPoint
December 30, 2024 Nazrin

Siri komputer riba Lenovo ThinkPad boleh dikatakan salah satu komputer riba produktiviti nipis dan ringan paling ikonik, khususnya dengan penunjuk/tetikus Lenovo TrackPoint berwarna merah mereka yang sangat ikonik. Aksesori tersebut biasa dilihat sebagai sebuah “titik merah” di tengah-tengah komputer riba tersebut dan berfungsi sebagai sebuah tetikus.

Rekaan komputer riba Lenovo ThinkPad terbaru yang dinamakan Lenovo ThinkPad X9 telah tertiris ke platform media sosial X/Twitter oleh WalkingCat. Selain daripada rekaan yang semakin padat dan paparan skrin yang mempunyai bingkai yang lebih nipis, ia juga diperlihatkan bahawa komputer riba ThinkPad terbaru ini tidak lagi mempunyai penunjuk TrackPoint.

Melalui imej promosi yang diperlihatkan juga, nampaknya komputer riba ini hanya akan tampil dengan dua palam USB Type-C (mungkin Thunderbolt 4 atau Thunderbolt 5) dan satu palam USB Type-A dan satu palam HDMI.

Dari segi spesifikasi, ia dijangka bahawa komputer riba ini akan tampil menggunakan siri cip pemprosesan Intel Core Ultra 200 terbaru. Tetapi samada ia adalah cip pemprosesan Lunar Lake ataupun Arrow Lake terbaru, buat masa ini ia tidak diketahui lagi.

Lenovo nampaknya mahu mencuba sesuatu yang baru dengan penawaran komputer riba ThinkPad terbaru ini, tetapi bagi pengguna lama siri komputer riba ini, mereka pastinya sedih untuk melihat bahawa ThinkPad kegemaran mereka tidak lagi menggunakan penunjuk TrackPoint ikonik tersebut.

Komen