Semalam kami terbitkan senarai empat peranti terbaik 2024. Hari ini kami terbitkan pula senarai peranti nilai terbaik 2024. Sekali lagi pendapat peribadi setiap editor dikumpulkan untuk senarai ini. Nilai terbaik ialah sesuatu yang subjektif. Setiap editor mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka memilih peranti tertentu dan di bawah mereka akan menerangkannya.
Kriteria Pemilihan
- Telah diulas di Amanz.
- Menawarkan nilai terbaik untuk harga yang ditawarkan.
- Tiada had kelas.
- Telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia antara pertengahan Disember 2023 hingga pertengahan Disember 2024
PERANTI NILAI TERBAIK 2024
Poco F6 – Effi Saharudin
Saya pilihan Samsung Galaxy S24 Ultra sebagai peranti terbaik 2024 tetapi saya juga menyedari harga jualannya yang melangkaui RM6000 membuatkan ia tidak mampu dimiliki semua. Maka untuk kategori ini saya memilih peranti Poco F6 kerana ia hadir dengan prestasi mantap tetapi harga jualan yang boleh dikatakan tidak masuk akal
Dengan harga jualan antara RM1799 dan RM1999, anda boleh memiliki peranti dengan Snapdragon 8s Gen 3 yang tidak kurang hebatnya berbanding Snapdragon 8 Gen 3. Ini dipadankan dengan skrin yang 120Hz Dolby Vision, kamera 50MP dengan OIS, bateri 5000 mAh tahan lama dan pengecasan pantas 90W. Terdapat banyak peranti kelas pertengahan tahun ini yang dijual pada harga lebih tinggi. Dari segi nilai, Baik Beli Poco!
Spesifikasi: 6.67” AMOLED, FHD+, 120Hz, Snapdragon 8s Gen 3 (4nm) (1X Cortex X4 3.0 GHz + 4X Cortex-A720 2.8 GHz + 3X Cortex-A720 2.2 GHz , Adreno 735, 12GB RAM, storan 256/512 GB, 50+8 MP (Utama), 20MP (Swafoto), 5000 mAh (90W), Android 14.
Harga: Bermula RM1799 (12/256GB)
HONOR 200 Pro – Amy Maizura
Saya memilih Honor 200 Pro sebagai telefon pintar paling berbaloi dimiliki pada tahun ini. Ia merupakan telefon pintar yang menawarkan ciri mewah pada titik harga yang berpatutan. Dengan spesifikasi yang mengagumkan dilengkapi cip Snapdragon 8s Gen 3 berkuasa dan sistem kamera luar biasa, Honor 200 Pro sememangnya terbaik khususnya dalam fotografi potret. Terima kasih kepada Harcourt Studio yang merupakan sebuah studio gambar terkenal di Paris.
Keadaan ini berbeza dengan kebanyakan pengeluar yang bekerjasama dengan syarikat pembuat lensa dalam usaha menawarkan rakaman lebih berkualiti pada telefon pintar. Sama ada digunakan untuk mengambil gambar biasa, potret atau swafoto, Honor 200 Pro sememangnya mampu memberikan hasil yang terbaik setiap masa. Kamera utama menggabungkan lensa lebar 50MP, telefoto 50MP dan 12MP sudut lebar dengan OIS.
Dengan bateri karbon silikon 5200mAh yang besar pula, telefon pintar boleh bertahan sepanjang hari penuh untuk penggunaan berat. Adanya pengecasan pantas 100W dan nirwayar 66W menjadikannya lebih baik memandangkan agak sukar sebuah peranti pertengahan dilengkapi ciri berkenaan.
Banyak ciri istimewa yang terdapat dalam telefon pintar mercu Honor Magic6 Pro turut boleh ditemui pada telefon pintar ini. Antaranya seperti Magic Portal, AI Eraser, AI Magic Capsules dan lain-lain. Paling penting sudah semestinya Honor 200 Pro mempunyai perkhidmatan GMS terbina dalam sistem.
Spesifikasi: 6.78″ OLED FHD+ 120Hz, Snapdragon 8s Gen 3 (1 x 3.0 GHz Cortex-X4, 4x 2.8 GHz Cortex-A720 & 3 x 2.0 GHz Cortex-A520), Adreno 735, 12GB RAM, storan dalaman 512GB, 50+50+12MP (Utama), 50MP + 3D ToF (Swafoto), 5200 mAh (100W), Android 14.
Harga: RM2,699 (12/512GB)
Nothing Phone (2a) – Fahim Zahar
Untuk peranti dengan nilai terbaik pula, saya memilih Nothing Phone (2a). Kerana ia jelas membuktikan melalui kata slogan mereka “Make Tech Fun Again” dan saya benar-benar rasakan dengan Nothing Phone, teknologi benar-benar kembali rasa seronok.
Rekaan unik yang berani melalui panel belakang lutsinar, ciri Glyph yang penuh inovasi bukan sekadar gimik, Nothing OS yang seakan Android stok tetapi penuh dengan ciri kustomasi menarik. Ia juga adalah peranti yang Nothing menjaga kemas kini dengan rapi seperti antara peranti kelas pertengahan terawal dengan Android 15.
Spesifikasi: 6.7” AMOLED, FHD+, 120Hz, Dimensity 7200 Ultra (4nm)(2X Cortex A715 2.8 GHz + 6X Cortex-A510 2.0 GHz), Mali-G610 (MC4), 12GB RAM, storan 256GB, 50+50 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), Android 15.
Harga: RM1699 (12/128GB)
Infinix Note 40 Pro – Nazrin Zain
Infinix Note 40 Pro merupakan satu contoh peranti kelas mampu milik yang memperlihatkan ciri-ciri dan sedikit prestasi pada . Pada Harga RM1098, peranti bersaiz 6.78 inci ini dikuasakan cip pemprosesan MediaTek Dimensity 7020 dengan 8GB memori LPDDR5 terbina dan 8GB memori maya tambahan yang cukup berkuasa untuk menggerakkan kebanyakan aplikasi produktiviti dan riadah tanpa masalah.
Dengan paparan AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz dan nilai kecerahan 1300 nit, anda boleh menonton video-video YouTube, Netflix dan sebagainya tanpa masalah, dan dengan ciri-ciri seperti pengesahan kalis debu dan air IP53, kamera 108MP, bateri 5000mAH dan pengecasan pantas 45W, Infinix Note 40 Pro ialah pilihan saya untuk peranti nilai terbaik pada tahun ini.
Spesifikasi: 6.78” AMOLED, FHD+, 120Hz, Dimensity 7020 (6nm)(2X Cortex A78 2.2 GHz + 6X Cortex-A55 2.0 GHz), IMG BXM-8-256 (MC4), 8GB RAM, storan 256GB, 108+2+2 MP (Utama), 32MP (Swafoto), 5000 mAh (45W), Android 15.
Harga: RM1098 (8/256GB)