Frore Systems ialah syarikat pembangun teknologi penyejukan yang terkenal untuk memperkenalkan teknologi penyejukan tanpa kipas untuk sistem komputer dan mesin pelayan. Pada pertengahan tahun ini, mereka telah memperlihatkan sistem penyejukan Frore AirJet Mini Slim yang tampil dengan rekaan serba nipis, tetapi mampu mengalirkan tekanan udara setinggi 1750 Pascal menggunakan 1W tenaga elektrik sahaja.
Sistem penyejukan AirJet Mini Slim menggunakan getaran ultrasonik untuk menghasilkan aliran udara yang lebih kuat disamping menggunakan tenage elektrik yang lebih rendah apabila dibandingkan dengan kipas penyejukan konvensional.
Baru-baru ini, sistem penyejukan tersebut telah diuji pada sebuah komputer riba Samsung Galaxy Book4 Edge, dimana empat buah penyejuk AirJet Mini Slim telah digunakan untuk mengalirkan haba daripada komponen cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X Elite.
Penggunaan sistem penyejukan Frore AirJet Mini Slim memperlihatkan pengurangan dari segi kawasan yang perlu disejukkan sebanyak 45 peratus, dan ini membolehkan komputer riba Samsung tersebut untuk bukan sahaja beroperasi pada nilai Watt yang lebih tinggi (18 berbanding dengan 12 sebelum ini), tetapi juga untuk mereka memuatkan bateri yang lebih besar (64.8Wh berbanding 55.9Wh).
Dengan pemasangan sistem penyejukan ini, dan juga bateri yang lebih besar, Frore Systems mengatakan bahawa jangka hayat penggunaan komputer riba tersebut meningkat dari 20 jam ke 23.2 jam dari segi memainkan video secara berterusan.
Frore Systems mengatakan bahawa komputer riba Samsung Galaxy Book4 Edge dengan sistem penyejukan AirJet Mini mereka ini akan diperlihatkan sewaktu acara CES 2025 pada minggu hadapan. Samada komputer riba dengan SKU penyejukan ini akan dijual, ia masih tidak diketahui buat masa ini.