Carian
Ulasan Harman Kardon Enchant 1100, Enchant Sub, Enchant Speaker – Terpesona, Tak Kecewa
January 6, 2025 Fahim Zahar

Makmal Amanz kini tidak lagi menghadkan ujian produk audio kepada TWS atau set fon kepala sahaja. Sebaliknya, set teater rumah pun kini di dalam portfolio kami. Selepas menguji speaker Samsung, Sony, Sonos, JBL dan pelbagai lagi, kami mencuba pula siri Enchant oleh Harman Kardon pula yang mengejutkan mempunyai audio dengan bisa yang menyengat bukan sahaja di telinga tetapi juga di kocek.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

Enchant 1100Enchant SubEnchant Speaker
JenisSoundbarSubwooferSpeaker
Pemandu8 x 30 W woofer and full-range
3 x 25 W tweeter
Soundbar transducer 6x (55 x 90) mm racetrack drivers
3x 1″ (25 mm) tweeters
2x 2.75″ (70 mm) up-firing full-range drivers
400W
1 x 10″ (254mm)
1x 25 mm tweeter
1x 92 mm woofer
2x 50 mm full-range drivers
Piawaian AudioDolby AtmosTidak diberitahuTidak diberitahu
SambunganBluetooth 5.3
1x HDMI 2.3
1x HDMI eARC
1x USB-A
1x Optikal
1x Ethernet
WiFi 2.4G/5G
1x Sambungan palam kuasaBluetooth 5.3
1x USB-C
1x Ethernet
WiFi 2.4G/5G
Ciri Audio Unik3D surround sound with Dolby Atmos
DTS:X
MultiBeam
Tidak diberitahuDolby Atmos Music for 3D spatial sound
PenstrimanApple AirPlay
Chromecast
Spotify Connect
Hanya dengan SoundbarApple AirPlay
Chromecast
Spotify Connect
CODECMPEG 1 Layer 2/3, MPEG 2 Layer 3, MPEG 2.5 Layer 3Tidak diberitahuTidak diberitahu
MikrofonTiadaTiadaTiada
Butang + PaparanButang asas di permukaan atas
Skrin LED
Asas, Di permukaan atasAsas, Di permukaan atas
Harga JualanRM 4,899RM 2,499RM 1,599

Set teater rumah Harman Kardon ini terdiri daripada tiga produk utama iaitu soundbar Enchant 1100, subwoofer Enchant Sub dan speaker Enchant Speaker. Dalam ujian kami, Enchant 1100 dan Enchant Sub menjadi set teater rumah sementara Enchant Speaker menjadi speaker di dalam bilik. Menyambungkan kesemua speaker ini ke dalam satu ekosistem adalah sangat mudah seakan Sonos di mana kesemua komponen boleh digabungkan dengan menekan beberapa butang sahaja dalam aplikasi.

Enchant 1100 adalah soundbar paling premium terbaru Harman Kadron untuk tahun 2024. Ia direka dengan rekaan standard berwarna hitam dan minimalis. Ia boleh disambungkan ke dinding atau disusun rapi di bawah TV pintar gergasi. Semua kawalan fizikal adalah melalui butang asas di permukaan atas, sementara semua sambungan I/O pula di belakang dan terdapat skrin LED kecil untuk pelbagai paparan status penggunaan di hadapan.

Soundbar ini menyokong saluran audio 7.1.4 dengan sistem Dolby Atmos serta sambungan HDMI turut menyokong Dolby Vision dan HDR10 secara tembus (pass through) jika disambungkan kepada kotak TV atau konsol permainan.

Untuk Enchant Sub ia sangat nampak ringkas dan seakan bongkah granit yang legap. Ia menyokong sambungan WiFi dan butang pintasan Moment untuk akses pantas kepada senarai main pelbagai muzik. Harman Kardon sendiri tidak mendedahkan spesifikasi penuh produk audio ini di laman web mereka. Spesifikasi utama yang diketahui adalah pemandu audio yang digunakan sebesar 10″.

Produk ketiga adalah Enchant Speaker, iaitu speaker kecil yang menyokong audio stereo jika dipadankan dengan sebuah lagi Enchat Speaker..Cuma untuk menggunakannya bersama-sama dengan Soundbar, ia perlu mempunyai dua unit dan menggunakan kaedah sambungan mod parti. Ia juga cukup berkuasa dengan audio Dolby Atmos serta menyokong lontaran audio menerusi Apple AirPlay, Chromecast dan Spotify Connect.

PENGALAMAN PENGGUNAAN – WAYANG DENGAN MULTIBEAM

Harman Kardon mempunyai sistem speaker maya tersendiri atau phantom speaker yang boleh memantulkan audio seakan wujud speaker tambahan untuk audio yang lebih imersif. Ciri ini dinamakan sebagai Multibeam dan ia benar-benar berfungsi dalam ujian kami. Di dalam ruangan bilik yang kecil, kesannya lebih mudah untuk dirasai berbanding di dalam bilik dengan ruangan lebih besar.

Pengalaman pendengaran adalah lebih memfokuskan kepada dentuman bass yang lebih dalam. Menonton filem aksi dengan banyak adegan tembak-menembak dan letupan akan menggegarkan sedikit bilik seakan berada di dalam pawagam mini. Sokongan audio Dolby Atmos pada soundbar ini benar-benar membantu menjadikan audio lebih menyeluruh berbanding mematikannya.

Saya turut gemar menggunakan sambungan HDMI eARC untuk sambungkan kotak TV Apple TV 4K, kerana ia menyokong sistem pass through HDR10 dan Dolby Vision. Walaupun televisyen saya tidak menyokong paparan Dolby, audio yang dikeluarkan akhirnya enak dan memuaskan berbanding menggunakan speaker terbina televisyen.

Penggunaan bersama Enchant Sub turut menjadikan pengalaman pendengaran lebih mengasyikkan. Bass yang dihasilkan menjadikan setiap audio kedengaran lebih dalam, jelas dan sedikit lebih memuaskan. Isu pada Sub adalah kesannya yang sangat minimal, pengguna biasa sukar untuk mendengar perbezaan yang ketara.

Menggunakan Enchant Speaker terus memberikan pengalaman yang jauh berbeza. Dalam aplikasi Harman Kardon One, ia memberitahu tidak semua speaker boleh disambungkan serentak. Dalam kes saya, hanya Enchant 1100 dan Enchant Sub boleh digunakan bersama sementara Enchant Speaker saya jadikan sebagai speaker asing. Untuk menggunakan bersama, ia mungkin memerlukan satu lagi unit tambahan dan pengalaman imersif lengkap wajib digunakan bersama mod parti. Isu ini jelas terasa, apabila ketika sesi demonstrasi mereka perlu tukar mod teater dan mod parti untuk menggunakan set lengkap.

Syukur, kualiti audio yang disampaikan adalah sangat menarik. Ia mempunyai kejelasan yang nyata, audio yang lebih realistik berbanding simulasi digital serta dalam saiz kecil ia mempunyai bass yang dalam. Sayang sekali, untuk kualiti audio sebegini dengan harga RM1,599 ia agak mahal – lagi-lagi jika ingin penggunaan lengkap yang memerlukan satu lagi unit tambahan. Jika harga setinggi ini, set Sonos Era pada hemat saya lebih berbaloi.

Sistem alat kawalan jauh Harman Kardon ini juga sedikit aneh, kerana ia bukan jenis plug & play – jadi alat kawalan tidak boleh digunakan sebaik palam kuasa disambungkan. Pengguna masih perlu menggunakan aplikasi untuk melakukan tambatan lengkap dan apa yang ditawarkan dari dalam aplikasi sama dengan apa yang ada pada alat kawalan jauh. Keputusan Sonos kelihatan lebih masuk akal kerana terus tidak menyatakan alat kawalan dalam pakej pembelian.

Setiap speaker memfokuskan kepada sambungan nirwayar. Enchant 1100 dengan HDMI eARC pada televisyen atau ada juga pilihan sambungan optikal, kemudian Sub pula terus dari dalam aplikasi dan Speaker juga adalah secara nirwayar. Ekosistem unik mereka yang lain adalah ciri Moment yang ada di dalam aplikasi, butang fizikal dan pada alat kawalan jauh untuk mengakses senarai main pelbagai lagu daripada pelbagai platform.

Set teater rumah Harman Kardon siri Enchant ini menggunakan satu aplikasi untuk semua, iaitu Harman Kardon One. Aplikasinya mengingatkan saya kepada Sonos, ia sangat ringkas dan mudah digunakan. Apa yang terpapar itulah yang boleh digunakan, tidak mengelirukan dan sesuai untuk semua jenis pengguna. Sayang sekali, pengguna yang lebih teknikal mungkin sukar untuk menghargai aplikasi ini kerana kawalan audio seperti equaliser yang sangat terhad.

APA ADA DALAM KOTAK?

  • Enchant 1100
    • 1x Soundbar
    • 1x Alat kawalan jauh
    • 1x HDMI
    • 1x Kabel Kuasa
    • 1x Cagak dinding
    • 1x Set buku panduan/keselamatan
  • Enchant Sub
    • 1x Sub
    • 1x Kabel kuasa
    • 1x Set buku panduan/keselamatan
  • Enchant Speaker
    • 1x Speaker
    • 1x Kabel kuasa
    • 1x Set buku panduan/keselamatan

KESIMPULAN

Saya menguji Harman Kardon Enchant 1100, Enchant Sub dan Enchant ini selama 2 minggu di rumah sendiri dan juga di Makmal Amanz. Tidak dinafikan, apa yang cuba dilakukan Harman Kardon cnampak menarik. Rekaan yang kemas dan minimal, nampak elegan dan paling penting sangat mudah untuk digunakan. Kualiti audio yang fokus kepada bass juga cukup mendebarkan, kejelasan suara/dialog/vokal yang sangat terang dan audio imersif mengasyikkan melalui Multibeam.

Sayang sekali, harga jualan untuk apa yang ditawarkan oleh Harman Kardon ini tidak cukup sesuai. Ketiga-tiga produk ini berharga RM8,997 dan jika ingin lengkapkan tambahan satu lagi Enchant Speaker akan menjadikan harga RM10,596. Dengan RM10,698 untuk Sonos Arc Ultra dan Sub 4, walaupun hanya dua speaker – pengalaman pendengaran dan kualiti audionya jauh lebih berkualiti.

PRO DAN KELEBIHAN

  • Rekaan premium yang nampak minimal, kemas dan elegan.
  • Kualiti audio Dolby Atmos, audio imersif dan bass yang rancak.
  • Penggunaan aplikasi yang sangat ringkas.
  • Ciri unik Apple AirPlay, Chromecast, Spotify Connect

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Laman produk tidak memaparkan spesifikasi lengkap.
  • Penggunaan set teater rumah yang mengelirukan.
  • Harga jualan yang agak mahal berbanding pesaing.
Komen