Selama 30 tahun saya hidup, saya hanya pernah menggunakan komputer Windows, Linux dan ChromeOS dengan hanya mampu melihat rajan sepejabat menggunakan Mac. Tahun ini saya diberikan peluang mengulas Mac Mini dengan cip Apple M4 yang dilancarkan di Malaysia lewat tahun lalu.
Dari pengalaman saya menggunakan Windows 95, Windows XP, Windows Vista, Windows 7,8,10 dan kini Windows 11 saya rasakan peralihan kepada macOS adalah satu pilihan yang tepat. Dalam artikel ulasan Mac Mini M4 ini, akan saya kongsi sebab kenapa dan adakah ianya satu peralihan yang berbaloi?
SPESIFIKASI DAN REKAAN
Jenis | Komputer desktop kompak |
CPU | Apple M4 (3nm) 4-teras prestasi 6-teras efisien |
GPU | Apple GPU 10-teras |
NPU | Apple NPU 16-teras |
Memori | 16GB |
Storan | 512GB |
Port Sambungan | 5x USB-C (1x Thunderbolt 4) 1x Ethernet 1x HDMI 1x Bicu audio 3.5mm |
Audio | Speaker terbina |
Butang | Butang kuasa fizikal di bawah |
Kuasa | 100V ke 240V AC 155W |
AI | Ya, Apple Intelligence |
Lain-Lain | Bluetooth 5.3 WiFi 6E |
Harga | RM3,349 |
Sejak memasuki era universiti, saya kerap menggunakan komputer riba sahaja. Penggunaan PC saya hanya terhad apabila ada kerja-kerja di makmal sahaja. Kemudian di era pekerjaan, sepanjang 6 tahun di Amanz – Mac Mini adalah desktop pertama saya. Ia memberikan satu pengalaman yang menakjubkan kerana sebuah komputer yang spesifikasi di atas kertasnya sangat berkuasa boleh dimuatkan dalam satu saiz yang sangat kompak.

Bayangkan, sebuah peranti yang bersaiz 50mm x 127mm x 127mm dengan berat 670 gram boleh memuatkan memori 16GB RAM , storan dalaman 512GB SSD dan cip Apple M4 10-teras CPU + 10-teras GPU + 16-teras NPU. Bukan itu sahaja, komputer desktop adi-kompak ini turut memuatkan port sambungan 3x USB-C (2x USB 4, 1x Thunderbolt 4), 1x Ethernet dan 1x HDMI 2.0 di belakang. Sementara di hadapan terdapat 2x USB-C USB 3 dan 1x bicu audio 3.5mm. Di bawah Mac Mini ini turut terdapat speaker Dolby Atmos yang cukup lantang.

Mac Mini baharu ini turut menyokong WiFi 6E, Bluetooth 5.3 dan menjalankan macOS Sequoia 15 baharu lengkap dengan ciri AI generatif Apple Intelligence. Kerana rekaan yang kecil molek ini juga membuatkan Apple terpaksa meletakkan butang kuasa di bawah peranti. Jujur saya katakan, saya tidak ada masalah dengan butang ini kerana saya telah pelajari pengguna Mac tidak mematikan peranti mereka. Ketika artikel ini ditulis, buat kali pertama Uptime saya mencapai lebih 5 hari (ya tidak lama).

Rekaan kecil ini juga memudahkan saya untuk menyusun meja dan nampak sangat minimalis, lengkap dengan Apple Magic Keyboard, Apple Trackpad dan Apple Magic Mouse. Pertama kali juga saya rasa tenang kerana tetapan stesen kerja saya sangat ringkas dan tidak serabut.

PENGALAMAN PENGGUNAAN
STUDIO DISPLAY
Ini mungkin adalah monitor terbaik pernah saya uji. Dari segi spesifikasi seperti panel LCD yang digunakan, kecerahan, sokongan speaker berkualiti terbina dan turut ada kamera web berkualiti diberikan. Monitor turut ada sistem penyejukan tersendiri yang memastikan pemanasan tidak akan berlaku. Akhir sekali adalah sistem engsel dan kaki yang digunakan yang sangat premium dan mudah.

Saya hanya menggunakan Studio Display untuk menaip artikel, menyunting gambar dan video serta menonton filem. Mungkin adalah sangat overkill tetapi sebenarnya tidak sesuai untuk saya. Disebabkan itu selepas beberapa minggu menyerahkannya kepada pasukan video Amanz untuk tugasan suntingan video dengan warna yang lebih jitu. Dengan ini ujian yang lebih adil oleh pasukan video yang lebih ahli dalam menghakimi prestasi paparannya boleh dilakukan.

Apple Studio Display pada saya adalah sebuah monitor dan juga sebuah seni hiasan untuk meja komputer yang cantik dan minimal. Setiap sudut pada monitor ini amat saya hargai dan setiap hari tiba ke pejabat pasti hati terus rasa senang dan tenang.

MAC MINI M4 + MACOS
Sebagai pengguna macOS kali pertama, ia sebenarnya tidak susah seperti yang saya jangkakan. Cuma penggunaan ekosistem Mac ini memerlukan banyak kesabaran. Pada saya, hanya pada tetapan sistem dan pintasan mengakses sesuatu sahaja yang mengelirukan. Saya rasakan Apple melakukan kerja yang cukup baik dalam menjadikan iOS, iPadOS dan macOS kelihatan lebih kurang sama untuk penggunaan yang lebih lancar.

Saya juga amat bersyukur yang ciri carian Spotlight adalah sangat berguna. Patutlah Windows kecoh ingin mengintegrasikan AI pada ciri carian mereka. Apple sejak sebelum Apple Intelligence lagi sudah menawarkan ciri carian terbaik. Disebabkan perkara ini juga saya faham kenapa pengurus fail tidak perlu menjadi sehebat Windows atau Android. Fail yang diingini hanya perlu cari dan boleh terus jumpa dengan mudah.

Antaramuka macOS turut sangat ringkas. Ia sedap mata memandang dan padat dengan ciri dan fungsi berguna. Untuk seorang pengguna Windows yang tidak banyak bergantung kepada aplikasi pihak ketiga untuk melengkapkan pengalaman penggunaan, saya rasakan macOS juga memberikan pengalaman yang sama. Apa yang saya ingin lakukan semuanya sudah tersedia secara lalai. Malah tidak banyak aplikasi pihak ketiga yang saya gunakan pada macOS ini.

Mission Control adalah satu lagi ciri berguna pada macOS. Apabila saya melakukan kerja-kerja mengulas produk, akan ada banyak tetingkap saya buka. Satu untuk suntingan, satu untuk menyusun fail, satu untuk pelayar web bagi melakukan kajian, akan ada tetingkap dengan aplikasi nota dan banyak lagi. Walaupun Windows ada ciri lebih kurang sama, implementasi pada macOS adalah sangat sempurna dan saya kerap menggunakannya berbanding pada Windows.

Saya turut menggemari yang pada macOS, saya rasakan pengguna mempunyai lebih banyak kawalan pada tetapan sistem berbanding pada iPad atau iPhone. Malah saya rasakan tetapan sistem macOS adalah jauh lebih baik berbanding Windows. Satu ciri Windows yang saya sangat hargai yang raya rindukan pada macOS ini adalah, Snap tetingkap dengan hanya tarik dan lepas ke mana-mana sisi, atas atau bawah skrin untuk membuka banyak tetingkap serentak.

Untuk AI, macOS mempunyai Apple Intelligence. Disebabkan saya tahu kelemahan Apple Intelligence selepas menggunakannya pada iPhone dan iPad saya tahu pada macOS pun ia kurang berguna. Walaupun pada ketika ini ia kurang berguna, ia sebenarnya adalah satu perkara baik untuk pengguna. Disebabkan ciri AI ini, semua model asas Mac kini mempunyai memori 16GB sebagai paling rendah. Jadi jika AI tidak dimanfaatkan banyak lagi tugasan lain boleh dilakukan dengan sempurna, efisien, pantas dan lancar.

Contohnya adalah suntingan video berkualiti tinggi. Tidak kira pada Adobe Premiere Pro atau Capcut, mana-mana video 5 minit ke atas hanya akan mengambil masa kurang 1 minit untuk diproses. Prestasi suntingan dengan banyak aplikasi dijalankan di latar dan banyak tetingkap aktif terbuka juga jauh lebih pantas berbanding peranti Windows dengan jumlah memori yang sama. Jelas di sini, konfigurasi dan rekaan cip Apple M4 dilakukan dengan baik sehingga tiada konfigurasi peranti Windows yang lebih kurang sama boleh dibeli pada harga bermula RM2,499.

MAGIC KEYBOARD + MAGIC MOUSE + TOUCHPAD
Pada awal penggunaan saya sangat risau kerana takut ia sukar untuk digunakan. Jangkaan saya benar kerana saya mengambil masa sekitar 3 minggu untuk membiasakan diri. Malah sehingga hari ini saya masih tidak biasa dengan kekunci pintasan. Apa yang saya sudah biasa adalah penggunaan gestur pada pad sesentuh Apple Magic Trackpad.

Hanya selepas dua minggu digunakan, saya terus kini faham mengapa ramai pengguna Macbook menggemari penggunaan Trackpad sahaja. Hanya selepas sebulan lebih baru saya ingin mencuba tetikus Logitech MX Master 3s versi Mac. Kedua-dua penggunaan tetikus dan pad sesentuh adalah terbaik pada sistem macOS, jauh berbeza dengan pada Windows yang gestur hanya berfungsi kadangkala sahaja.

Untuk Magic Mouse, tidak sampai 30 minit penggunaan saya terus berikan kepada editor Amanz yang lain kerana ia langsung tidak sesuai untuk digunakan. Jika saya diberi pilihan untuk sebuah gajet yang tidak perlu wujud di dunia, saya akan memilih Magic Mouse. Saya lebih rela menggunakan skrin Samsung Galaxy sebagai pad sesentuh pada DeX berbanding tetikus aneh ini.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Untuk penanda aras pada macOS, ia tidak menyokong PCMark 10 atau CrystalDiskMark. Sebaliknya saya hanya menguji dengan 3DMark Wild Life Extreme, Cinebench dan AmorphousDiskMark. Untuk Cinebench, dua ujian dilakukan iaitu untuk satu teras dan multi-teras. Hasil ujian satu teras menampakkan cip Apple M4 pada Mac Mini ini dengan skor 2,169 yang jaug meninggalkan skpor lima cip Intel Core i7.

Sementara untuk ujian multi-teras, M4 berada di tangga keempat dengan nilai 13,345 di bawah dua cip AMD Ryzen Threadpiper 1950X dan 2990WX. Untuk ujian 3DMark Wild Life Extreme ia memaparkan skor 9,830 – dengan kemampuan FPS 58.9. Ini agak tinggi dan berkemampuan menjalankan permainan video AAA pada tetapan auto atau sederhana.

Akhir sekali adalah untuk ujian SSD. Ujian ini dilakukan dengan beberapa aplikasi berjalan di latar. Untuk sebuah komputer yang sedang sibuk beroperasi dan memori boleh membaca dan menulis pada kadar 3,486.12 MB/s dan ke atas adalah satu prestasi yang baik. Cuma ia tidak cukup pantas dan kalau boleh saya mahukan kemampuan sekitar dua kali ganda lebih pantas. Ini dapat dirasakan ketika melakukan pemindahan fail dan juga pemasangan aplikasi.

EKOSISTEM
Kalau menggunakan produk Apple, tidak sah untuk tidak menggunakannya bersama-sama dengan produk Apple yang lain. Sepanjang penggunaan Mac Mini M4 ini, buat pertama kali akhirnya saya dapat merasai penggunaan Sidecar yang mengubah skrin iPad menjadi monitor. Saya turut dapat menjawab panggilan telefon iPhone terus pada Mac, mudah melakukan kerja-kerja salin dan tampal, dan secara tidak langsung menjadikan tugasan harian saya lebih efisien. Jika anda berduit, ekosistem lengkap ini sangat berbaloi untuk dialami.

APA ADA DALAM KOTAK
Dalam setiap pembelian Apple Mac Mini dengan cip M4, berikut adalah apa yang anda akan dapat di dalam kotak;
- 1x Mac Mini M4
- 1x Kabel kuasa
- 1x Set dokumen
Barangan lain seperti Magic Keyboard, Magic Trackpad, Magic Mouse, kabel Thunderbolt baharu dan Apple Studio Display perlu dibeli secara berasingan.

KESIMPULAN
Jadi adakah Apple Mac Mini M4 sebuah komputer yang berbaloi dimiliki? Jawapannya ya.! Percayalah kata saya tiada komputer Windows lain dengan spesifikasi lebih kurang sama serta kemampuan lebih kurang sama dapat menjual peranti mereka pada harga bermula bawah RM2,500. Apa yang Apple lakukan ini sangat bagus untuk semua pengguna tidak kira pelajar atau profesional. Ini adalah sebuah komputer kompak paling berkuasa yang patut digunakan oleh semua.

Untuk seorang pengguna Windows selama lebih dua dekad yang sudah berhijrah kepada macOS, memang betullah orang ramai katakan – “Kalau dah pakai Mac, memang susah nak move on.” Apabila saya pulang ke rumah kembali menggunakan Windows, semua kawalan menjadi janggal. Apa yang anda ingin lakukan pada sebuah komputer seperti kerja menaip/urusan dokumen, menyunting video, bermain permainan video, untuk hiburan, kerja-kerja pengekodan, dan banyak lagi semuanya boleh dilakukan pada Mac Mini M4 model asas.
PRO DAN KELEBIHAN
- Terlampau berkuasa untuk komputer bersaiz kecil.
- 5x USB-C yang berguna.
- Ada sokongan Ethernet dan HDMI.
- Prestasi yang sangat lancar.
- Rekaan kompak yang moden dan minimalis.
- Ada speaker terbina.
KONTRA DAN KEKURANGAN
- Butang kuasa berada di bawah sangat menjengkelkan.
- Agak sukar menjadikannya sebagai set komputer mudah alih seperti peranti NUC.
- Model dengan cip Apple M4 terhad kepada Thnderbolt 4 sahaja bukan Thunderbolt 5.
- Memori tidak boleh dinaiktaraf.
- Port USB-C di belakang tidak berfungsi jika bekalan kuasa elektrik tidak mencukupi.
