Bermula hari ini watak komik Popeye dan TinTin secara rasmi memasuki domain awam. Ini kerana menurut undang-undang harta intelek Amerika Syarikat, sebarang media yang berusia 95 tahun selepas diterbitkan secara automatik memasuki domain awan.
Hak cipta watak komik TinTin memasuki domain awam kecuali di Kesatuan Eropah (EU) kerana di sana hak cipta terpakai sehingga 70 tahun selepas kematian pencipta. Pencipta TinTin meninggal dunia pada tahun 1983 dan ini bermakna ia akan memasuki domain awam di EU pada tahun 2054.
Popeye dicipta oleh E.C. Segar dengan kemunculan pertama ialah dalam komik Thimble Theatre pada tahun 1929. Hanya rupa watak Popeye memasuki domain awam. Ciri kekuatan luar biasa selepas memakan sayur bayam hanya memasuki domain awam pada tahun 2027 kerana komik pertama memaparkan kemampuan ini diterbitkan pada tahun 1931.
Selain Popeye dan TinTin, sebanyak 12 lagi kartun awal Mickey Mouse memasuki domain awam termasuk The Karnival Kid yang memaparkan kali pertama ia bercakap. Pada Januari tahun lalu, kartun Steamboat Willie yang memaparkan Mickey Mouse memasuki domain awam yang memberikan kebenaran sesiapa sahaja menggunakan watak yang sebelum ini hanya boleh digunakan oleh Disney.