Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia hari ini mengumumkan sebanyak 2 platform media sosial telah berjaya memperoleh lesen untuk perkhidmatan media sosial. Dua platform berkenaan adalah Bytedance (TikTok) untuk platform media sosial, sementara Tencent (WeChat) untuk perkhidmatan permesejan.
Selain kedua-dua platform ini, menurut SKMM, Telegram kini dalam fasa akhir proses perlesenan, dan dijangka menerima lesen mereka dalam masa terdekat. Untuk Meta pula, mereka telah memulakan proses perlesenan mereka. Meta merupakan penyedia perkhidmatan sosial Facebook, Instagram dan juga WhatsApp.
SKMM mengatakan X dan Google (YouTube) masih belum memulakan sebarang proses perlesenan. Pihak X mengatakan mereka mempunyai kurang 8 juta pengguna dan tidak tertakluk dibawah keperluan ini. Google pula membangkitkan beberapa perkara berkaitan Kerangka Perlesenan dan kedudukan YouTube sebagai platform perkongsian video.
SKMM menekankan keperluan perlesenan ini adalah dalam usaha meningkatkan keselamatam atas-talian, disamping memastikan platform sosial lebih bertanggungjawab dalam operasi dan kandungan melalui platform mereka.