Proses pelepasan dan ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 akan menjadi lebih pantas dengan pengenalan 40 lorong imbasan QR bulan ini. Menurut Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, lorong-lorong ini hanya akan dibuka untuk rakyat Malaysia sebagai alternatif kepada lorong imbasan pasport yang digunakan sekarang.
Imbasan kod QR imigresen akan mengambil masa 5-7 saat berbanding sistem imbasan pasport yang mengambil masa sehingga 25 saat. Sistem kod QR akan mula diuji bulan ini bagi melihat keberkesanannya untuk mengurangkan kesesakan khususnya ketika cuti perayaan dan waktu puncak.
Walaupun lorong imbasan QR telah dibuka, orang ramai masih perlu membawa pasport untuk melakukan perjalanan. Pada waktu yang sama, kaunter pemeriksaan manual imigresen dan lorong imbasan pasport masih akan beroperasi seperti biasa.