Kanada Dilaporkan Mahu Melombong Nadir Bumi Sendiri Untuk Sektor Semikonduktor
Nazrin
Isu perang perdagangan diantara Amerika Syarikat dan China telah menyebabkan negara Asia tersebut untuk menyekat eksport bahan-bahan nadir bumi dari negara mereka dan ini dijangka akan menyebabkan peningkatan harga yang cukup mendadak, khususnya untuk industri teknologi.
Terkini, ia dilaporkan bahawa Kanada mahu mula mengeluarkan bahan nadir bumi dan sejumlah bahan-bahan semulajadi lain yang diperlukan khususnya oleh sektor semikonduktor dan juga teknologi lain seperti pengangkutan elektrik dan sebagainya.
Kerajaan Kanada telah mengeluarkan sebuah laporan yang bertajuk Canadian Critical Mineral Strategy Annual Report 2024 yang menggariskan pelan negara tersebut untuk mengembangkan industri pelombongan mereka untuk menghasilkan bahan-bahan mineral kritikal, termasuklah bahan nadir bumi.
Bumi Kanada dilaporkan mempunyai 34 bahan mineral kritikal yang boleh dilombong untuk kegunaan, tetapi enam daripadanya nampaknya mendapat fokus daripada kerajaan tersebut untuk meningkatkan ekonomi negara tersebut, termasuklah litium, grafit, nikel, kobalt, tembaga dan juga unsur nadir bumi. Litium, kobalt dan tembaga juga dilihat sebagai bahan-bahan utama untuk komponen bateri pengangkutan elektrik.

Walaupun begitu, Kanada masih menitikberatkan kepentingan alam sekitar, dan proses untuk mendapatkan kebenaran untuk melombong unsur-unsur ini ialah sesuatu yang memakan masa yang sangat panjang.
Membuka sebuah lombong di Kanada memerlukan jangkamasa kira-kira 10-15 tahun, dengan pelbagai laporan dan permit diperlukan untuk memastikan bahawa proses pelombongan yang dilakukan bukan sahaja selamat untuk para pekerja yang melakukannya, tetapi syarikat tersebut juga perlu memastikan bahawa alam sekitar di kawasan lombong tidak terjejas oleh aktiviti tersebut.
Kerisauan utama ialah dalam jangka-masa yang panjang ini, teknologi pembangunan cip semikonduktor dan bateri kenderaan boleh berubah dengan mendadak, dan terdapat kebarangkalian keperluan industri akan berlaku dimana unsur seperti litium dan nikel mungkin tidak diperlukan lagi.
Akan tetapi, untuk buat masa ini, ia mungkin berbaloi untuk Kanada mempertimbangkan melombong bahan-bahan ini khususnya apabila walaupun dalam masa 10 tahun, ia dijangka bahawa keperluan untuk unsur-unsur ini masih lagi sangat diperlukan untuk pelbagai jenis industri.
[sumber]EE Times[/sumber]