Malaysia telah mula menguat-kuasa perundangan baharu bermula 1 Januari 2025, yang memerlukan semua platform media sosial dengan angka pengguna lebih 8 juta mempunyai lesen perkhidmatan media sosial untuk terus beroperasi di Malaysia – atau akan dikenakan denda. Selari dengannya, kini WeChat dan TikTok telah pun menerima lesen, sementara Meta dan Telegram dalam proses permohonan.
Untuk X pula, mereka mengatakan mempunyai kurang 8 juta pengguna di Malaysia, dan tidak tertakluk untuk lesen berkenaan. Selari dengannya, SKMM kini sedang menyemak berkenaan dengannya berdasarkan kepada laporan.
Mengikut semakan Amanz melalui platform pengiklanan X untuk capaian, ia menyasarkan capaian sekitar 4.8 juta ke 5.3 juta akaun untuk penyasaran iklan bagi pasaran Malaysia.
Selain X, pihak Google turut tidak memohon lesen untuk YouTube, kerana kedudukan sebagai platform perkongsian video. SKMM mengatakan sedang memastikan ciri dan klasifikasi perkongsian video dibawah Kerangka Pelesenan berkenaan.