Sempena CES 2025, Samsung melancarkan tiga monitor gaming baharu di bawah keluarga Odyssey. Samsung Odyssey OLED G8 G81SF baharu hadir dengan skrin 27″ OLED dengan resolusi 4K dan juga kadar segar semula 240Hz. Panel mempunyai masa tindak balas 0.03ms (GTG), sokongan AMD FreeSync Premium Pro, NVIDIA G-Sync serta melepasi piawaian VESA DisplayHDR True Black 400.
Sementara itu Samsung Odyssey OLED G6 G60SF pula hadir dengan skrin 27″ OLED dengan resolusi QHD tetapi sokongan kadar segar semula sehingga 500Hz. Spesifikasi lain adalah sama sahaja dengan OLED G8.
Turut dilancarkan ialah monitor Samsung Odyssey 3D G90XF dengan panel 27″ yang boleh memaparkan paparan secara tiga dimensi. Teknologi lensa lentikular dan dua kamera stereo di hadapan membolehkan monitor 3D ini digunakan tanpa memerlukan sepasang cermin mata khas. Pada waktu yang sama objek 2D boleh diubah untuk kelihatan 3D pada panel ini. Monitor ini telah diperlihatkan sebagai demo di CES tahun lalu tetapi akan dijual tahun ini.
Harga dan tarikh jualan ketiga-tiga monitor masih lagi belum diumumkan tetapi tahun lalu kesemua monitor yang dilancarkan di CES mula dijual pada separuh kedua tahun.