Antara ciri kegemaran saya dengan Google Assistant adalah apabila saya ada lebih dari satu speaker dengan pembantu maya ini berada di bilik berbeza, saya boleh menggunakannya seakan walkie-talkie atau menyiarkan pengumuman. Ini kerana ia boleh berkomunikasi dengan satu sama lain dengan mudah.
Piawaian Matter yang cuba menjadikan ekosistem pelbagai peranti Internet benda menjadi satu sistem, cuba melakukan perkara ini. Secara perlahan, Matter kini telah menyokong pelbagai produk dari loceng pintu, mesin basuh, sensor air, lampu pintar dan banyak lagi. Akan datang, piawaian Matter turut akan menyokong penstriman audio untuk produk speaker pula.
Idea Matter adalah untuk menjadikan ciri ini bersifat universal. Misalnya, menerima loceng pintu dari Nest Doorbell – notifikasi audio boleh disampaikan pada Amazon Echo atau Apple HomePod. Atau, mesin basuh Samsung siap membasuh baju – Nest Hub boleh memainkan muzik sebagai tanda peringatan. Ia berbeza dengan produk sedia ada yang menggunakan sistem kawalan Matter berbanding produk mengawal/mengakses produk lain.
Walaupun begitu, pada pendapat saya sendiri ciri ini tidak akan digunakan oleh pengeluar peranti untuk ekosistem produk audio mereka. Lagi-lagi ciri seperti multiroom, multipoint dan lain-lain. Google, Apple, Sony, Devialet, semua mempunyai ekosistem tersendiri dan tidak memanfaatkan ekosistem universal seperti Auracast.
Sama-sama kita nantikan perkembangan lanjut untuk peranti Internet benda di bawah Matter. Mana tahu akan datang jenama kecil pula yang boleh membawakan ekosistem lengkap seakan Google Home tetapi dengan pelbagai produk dari jenama berbeza.