Nama Atari tidak dikenali generasi muda sedangkan empat dekad yang lalu ia adalah sinonim dengan konsol seperti PlayStation dan Nintendo sekarang. Ia menjadi tempat Steve Jobs dan Steve Wozniak mengasah bakat mereka sebelum menubuhkan Apple. Di CES 2025, Atari mengesahkan mereka akan melancarkan Atari Gamestation Go yang merupakan sebuah konsol mudah alih.
Tiada spesifikasi dikongsi sebelum pelancaran tetapi berdasarkan video yang dikongsi Atari, ia mirip konsol mudah alih lain di pasaran. Perbezaan yang ada terletak pada bahagian kanan kerana mempunyai pad nombor seperti alat kawalan klasik Atari 5200 dan Jaguar. Sementara itu pada sebelah kiri pula terdapat alat kawalan berbentuk bebola seperti alat kawalan Trak-Ball untuk Atari 2600.
Lebih menarik ialah terdapat dua portUSB-C di belakang untuk sambungan dua alat kawalan jauh yang menunjukkan Gamestation Go juga boleh digunakan dalam mod dok statik. Ini disahkan lagi dengan kewujudan port HDMI di bahagian atas.
Terdapat ramalan Gamestation Go sebenarnya adalah Atari Gamestation Pro tetapi versi mudah alih. Oleh itu ia mungkin hadir dengan 200 permainan klasik Atari secara terbina. Jika ini tidak mencukupi, ROM permainan boleh ditambah menggunakan kad mikro SD.