Seekor lembu melepaskan sehingga 160 kilogram gas metana setahun menerusi sendawa. Gas metana memanaskan atmosfera 28 kali lebih tinggi berbanding karbon dioksida yang menyumbang kepada pemanasan global. Penyelidik dari Scotland Rural College (SRUC) telah berjaya menternak baka lembu baharu yang lebih mesra alam kerana kurang menghasilkan gas metana.
Lembu yang diberi nama Hilda ini diternak menerusi projek The Cool Cows khusus untuk mengurangkan impak penternakan lembu yang lebih “hijau”. Ini adalah bagi membantu UK mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050. Sektor pertanian menyumbang kepada 12% pelepasan gas rumah hijau dengan sebahagian besarnya adalah daripada sektor penternakan haiwan.
Hilda diternak menggunakan teknik IVF dengan perubahan dilakukan di tahap genetik. Perut lembu melakukan proses fermentasi bagi memproses gula. Antara kesan sampingan proses ini ialah gas metana. Perubahan genetik pada Hilda membuatkan ia lebih “cekap metana” dan akan dijadikan asas untuk menternak haiwan lain yang juga kurang menghasilkan gas ini. Dengan kurangnya gas dihasilkan, generasi lembu seterusnya di UK juga akan semakin kurang sendawa.