Carian
Asus / MSI
ASUS Dan MSI Memperkenalkan Paparan Skrin QD-OLED 27 Inci Terbaru Mereka
January 3, 2025 Nazrin

ASUS dan MSI adalah dua syarikat teknologi pesaing dari Taiwan yang memperlihatkan pelbagai jenis penawaran produk komputer dari komponen sehinggalah komputer riba, aksesori dan juga paparan skrin.

Bercakap mengenai ini, kedua-dua syarikat ini telah memperllihatkan dua model paparan skrin bersaiz 27 inci yang dilengkapi dengan panel QD-OLED yang menjanjikan paparan yang bukan sahaja cerah, tetapi mempunyai olahan warna yang cantik dan jitu.

Paparan-paparan skrin ini adalah ASUS ROG Swift OLED PG27UCDM dan juga MSI MPG 272URX QD-OLED. Kedua-dua paparan ini hadir dengan saiz 27 inci dan resolusi 4K dengan kadar segar semula 240Hz, dan juga menggunakan panel QD-OLED terbaru untuk mencapai prestasi terbaik dari segi resolusi dan kadar segar semula tinggi.

Kedua-dua paparan ini juga tampil dengan sokongan untuk palam HDMI 2.1 dan DisplayPort 2.1a yang terbaru dengan sokongan penghantaran data UHBR20 yang dilihat menyokong penawaran kad grafik terbaru keluaran AMD dan NVIDIA yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.

ASUS ROG Swift OLED PG27UCDM tampil dengan nilai kecerahan setinggi 1000 nit, menyokong teknologi paparan HDR10 dan Dolby Vision dan mempunyai ciri ASUS OLED Care Pro, yang mana paparan akan padam dengan sendiri apabila ia mengesan bahawa pengguna tidak ada di hadapan skrin. Ciri ini berguna untuk memastikan bahawa paparan QD-OLED yang digunakan boleh bertahan lama.

Paparan ASUS ROG ini juga tampil dengan satu lagi ciri yang dinamakan OLED Anti-Flicker 2.0 yang mengurangkan isu kelipan paparan apabila kadar segar semula skrin berubah-ubah sewaktu digunakan.

Untuk paparan MSI MPG 272URX QD-OLED pula, ia menyokong teknologi DisplayHDR True Black 400 untuk olahan warna yang cerah dan jitu, disamping pengesahan ClearMR 13000 yang memastikan bahawa paparan ini langsung tidak mengalami isu piksel kabur. Ia juga dilihat hadir dengan ciri OLED Care 2.0, yang mana sama seperti penawaran ASUS, mengurangkan kebarangkalian panel OLED mengalami isu burn-in yang sering membelenggu banyak paparan OLED yang lain.

Buat masa ini, ia dijangka bahawa kedua-dua paparan skrin ini akan diperlihatkan sewaktu acara CES 2025 di Las Vegas pada minggu hadapan. Buat masa ini, kedua-dua ASUS dan MSI belum mengumumkan bilakah paparan skrin gaming terbaru mereka ini akan mula dijual. Pengumuman mengenainya mungkin dilakukan sewaktu acara minggu hadapan.

Komen