Siapa sahaja tidak mengenali Belkin sebagai pengeluar pelbagai aksesori. Dari power bank, kabel, produk audio dan banyak lagi. Terbaru di CES 2025, Belkin Stage PowerGrip telah dilancarkan iaitu pek bateri baharu yang memfokuskan fotografi.
Pek bateri ini hadir dalam bentuk rekaan seakan kamera untuk memberi cengkaman tambahan kepada sebuah iPhone. Bukan itu sahaja, ia turut mempunyai butang pengatup fizikal untuk mengambil gambar jika anda rasakan Camera Control tidak berguna. Pada masa yang sama, Stage PowerGrip turut hadir dengan bateri berkapasiti 10,000mAh.
Bateri terbina menyokong pengecasan magnetik nirwayar Qi asas dengan kuasa 7.5W, sementara turut mempunyai kabel terbina untuk mengecas iPhone lain. Stage PowerGrip turut mempunyai skrin kecil bagi memaparkan status baki bateri. Aksesori disambungkan ke peranti secara MagSafe dengan turut mempunyai kaki terbina untuk mendirikan peranti di atas permukaan rata.
Di CES 2025, Belkin turut melancarkan sejumlah aksesori lain untuk pencipta kandungan seperti tripod pelbagai guna Stage Creator Bundle, set fon kepala ANC SoundForm Isolate, TWS rekaan baharu memfokuskan keselesaan SoundForm Anywhere, dan sejumlah produk kuasa lain seperti BoostCharge Power Bank 20K, BoostCharge Compact Charger dan Boost Charge Pro Magnetic Wireless Charging.
Kebanyakan produk baharu Belkin ini akan dijual bermula bulan Mac 2025 ke pertengahan tahun 2025 nanti. Sama-sama kita nantikan dan lihat produk mana akan tiba ke pasaran Malaysia.