Komputer Riba RedmiBook 14 Dan 16 Inci Dikuasakan Cip Pemprosesan Intel Arrow Lake-H Diperlihatkan
Nazrin
Xiaomi mungkin lebih dikenali untuk peranti-peranti pintar mereka, tetapi syarikat teknologi dari China tersebut juga pernah memperlihatkan penawaran komputer riba kelas produktiviti yang cukup menarik.

Terkini, mereka telah mengemaskini penawaran siri komputer riba RedmiBook 14 dan RedmiBook 16 yang dikuasakan oleh model cip pemprosesan Intel Core 5 220H yang hadir dengan 12 teras fizikal dan 16 bebenang kuasa dan hadir dengan kelajuan sehingga 4.9GHz. Penawaran memori dan storan kedua-dua komputer riba ini bermula dari memori LPDDR5X sebanyak 16GB dengan storan SSD PCIe4 sebesar 512GB.
Dari segi paparan, RedmiBook 14 dilaporkan hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 2.8K, manakala RedmiBook 16 hadir dengan paparan IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi 2.5K. Kedua-dua paparan ini juga mempunyai kadar segar semula 120Hz.

Kedua-dua komputer riba ini juga menggunakan bateri 72Wh yang menjanjikan jangka hayat pengecasan penuh sekitar 19 jam menurut Xiaomi. Oleh kerana ini, kedua-dua komputer riba ini akan menggunakan cip pemprosesan grafik Intel Iris Xe sahaja, dan tidak akan menawarkan sebarang model dengan kad grafik yang lebih berkuasa.
Kedua-dua komputer riba ini sudahpun mula dijual di pasaran China, dengan model RedmiBook 16 dijual pada harga CNY 4799 untuk model 16GB/512GB sehinggalah CNY 5399 untuk model 32GB/1TB. Harga RedmiBook 14 pula dilihat CNY 200 lebih murah berbanding model 16 inci. Buat masa ini ia tidak diketahui lagi jika Xiaomi akan menjual komputer riba ini di luar pasaran China.
[sumber]Notebookcheck[/sumber]