Carian
Microsoft Mahu Melaburkan $80 Bilion Lagi Untuk Memesatkan Pembangunan Teknologi AI
January 6, 2025 Nazrin

2024 boleh dikatakan tahun dimana pelaburan kedalam pembangunan teknologi AI dilihat sangat pesat sekali. Syarikat-syarikat seperti OpenAI, Google, Microsoft, NVIDIA dan sebagainya dilihat memperlihatkan perkembangan yang paling pesat dalam sektor ini dalam percubaan untuk membangunkan teknologi AI umum yang boleh digunakan semua.

2025 juga nampaknya akan memperlihatkan lebih banyak pelaburan dalam sektor ini, dengan Microsoft mengatakan bahawa mereka mahu melaburkan sebanyak $80 bilion (~RM361 bilion) untuk memesatkan lagi pembangunan teknologi AI mereka.

Untuk ini, Microsoft akan membangunkan pusat data untuk tujuan melatih sistem AI yang baru dan untuk melancarkan sistem AI dengan aplikasi awanan di seluruh dunia. Walaupun begitu, lebih separuh daripada pelaburan ini akan berlaku di dalam sempadan Amerika Syarikat, yang juga dilihat mahu memesatkan penggunaan teknologi AI di negara mereka sendiri.

Microsoft dijangka akan menggunakan khidmat NVIDIA, khususnya kad-kad grafik AI NVIDIA Blackwell seperti NVIDIA B200 dan NVIDIA GB200 untuk menguasakan pusat-pusat data ini, dan akan menjadi salah satu daripada pelanggan utama NVIDIA pada tahun ini. Perkara ini cukup menarik khususnya apabila kad-kad grafik AI NVIDIA mempunyai permintaan yang sangat tinggi, dimana kad grafik Gracer Hopper mereka sebelum ini masih lagi dijual dengan banyak sekali.

Syarikat-syarikat AI lain seperti OpenAI, xAI, Stability AI dan sebagainya juga dijangka akan menerima pelaburan tinggi untuk memesatkan lagi pembangunan teknologi AI masing-masing supaya tidak ketinggalan dengan Microsoft.

Untuk Microsoft, ini dilihat sebagai langkah pertama untuk menjadi syarikat AI terulung di Amerika Syarikat dalam tempoh empat tahun akan datang, khususnya dengan pembangunan teknologi AI pesat yang juga sedang berlaku di China sekarang.

Komen