Carian
Indah Water Ingin Menawarkan Air Tebus Guna Untuk Penyejukan Pusat Data
January 6, 2025 Effi Saharudin

Penggunaan air oleh pusat data ialah antara isu yang perlu dipandang serius sebelum ia menyebabkan krisis air di masa hadapan. Tahun lalu Google sahaja telah menggunakan 6.1 bilion gelen air untuk penyejukan pusat data. Ini adalah bersamaan kapasiti air untuk mengisi 9242 kolam renang bersaiz Olimpik. Di Malaysia, Indah Water Konsortium (IWK) ingin menawarkan air tebus guna untuk digunakan pada pusat data.

Loji penambakan air di Setia Alam yang diusahakan IWK dengan kerjasama Air Selangor sebagai contoh menyediakan 4 juta liter air tebus guna setiap hari untuk kegunaan industri. Memastikan penggunaan air dengan lebih lestari akan mengurangkan beban kepada sumber air yang boleh diminum. Air tebus guna ialah air sisa yang telah diproses tetapi tidak boleh diminum. Oleh itu ia serasi digunakan bagi kegunaan industri seperti sistem penyejukan.

Inisiatif IWK ini sejajar dengan Pelan Transformasi Air Negara 2040 (AIR 2040) yang dilancarkan oleh kerajaan dengan tujuan mengukuhkan sektor air Malaysia melalui pengurusan sumber mampan, penyertaan sektor swasta dan teknologi canggih. Ini akan menyumbang kepada sasaran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk membekalkan 200 juta liter air tebus guna setiap hari menjelang 2030.

IWK kini sedang berusaha untuk meluaskan penggunaan air tebus guna di seluruh Malaysia, setelah menandatangani memorandum persefahaman dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB). Mereka juga bekerjasama dengan operator air di Negeri Sembilan dan Johor.

Komen