Bersempena dengan acara CES 2025, Samsung kini mengumumkan sejumlah peranti baharu, terutamanya memfokuskan kepada televisyen dan juga skrin monitor pintar. Seperti penawaran peranti lain, Samsung turut mengintegrasikan sokongan kecerdasan buatan pada penawaran mereka ini, dinamakan Samsung Vision AI.
Dengan adanya Samsung Vision AI, ia memberikan pengalaman yang lebih peribadi kepada pengguna ketika sedang menikmati kandungan. Ini termasuk sokongan “Click To Search” yang memudahkan anda mengetahui informasi yang berada pada skrin, sokongan terjemahan masa-nyata yang menawarkan sari-kata yang diterjemah secara masa-nyata, selain gambar latar yang dijana menggunakan AI.
Tidak setakat itu, televisyen dan monitor pintar Samsung kini turut menyertakan sokongan Microsoft CoPilot – membolehkan pengguna mengakses sejumlah penawaran CoPilot, termasuk cadangan kandungan melaluinya. Samsung mengatakan kelak mereka turut akan bekerjasama dengan pembangun AI yang lain, termasuk Google, dalam terus menambah-baik penawaran Samsung Vision AI.