GIGABYTE mengumumkan dua monitor gaming QD-OLED baharu dengan kadar segar semula yang tinggi. Sekali gus boleh dijadikan pilihan yang menarik dalam kalangan gamers profesional yang mencari monitor dengan prestasi maksimum dalam satu pakej.
Pertama ialah GIGABYTE AORUS FO24Q5P yang menampilkan panel QD-OLED 27-inci dengan kadar segar semula 500Hz. Ia juga dilengkapi dengan persijilan VESA DisplayHDR True Black 500 dan ClearMR 21000 untuk paparan lebih lancar dan ideal untuk permainan kompetitif. Selain mempunyai DisplayPort 2.1 yang menyokong UHBR20 dengan kadar penghantaran data setinggi 80Gbps bagi memastikan permainan yang lancar dan responsif sambil meminimumkan kabur gerakan.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2025/01/GIGABYTE-Panel-QD-OLED-500Hz-A-950x534.jpg)
Kedua adalah GIGABYTE MO27U2 yang menggabungkan panel beresolusi 4K dan kadar segar semula 240Hz yang tinggi untuk memberikan pengalaman visual yang terperinci. Monitor sebesar 27-inci ini juga menawarkan ketumpatan 166 PPI, ketepatan warna delta E≤2 dan pensijilan Pantone Validated untuk penghasilan semula warna yang tepat dan bermaya. Sama ada melibatkan permainan AAA, bekerja atau tugas kreatif ringan, monitor ini diyakini mampu memenuhi setiap keperluan dengan prestasi yang tiada tandingan.
Kedua-dua monitor juga menampilkan teknologi GIGABYTE OLED Care berupa sistem pelindungan skrin berasaskan AI yang direka untuk mengelakkan skrin mudah terbakar dan memanjangkan jangka hayat. Suis Taktikal 2.0 disertakan untuk keupayaan menukar resolusi dan melaraskan nisbah skrin 4:3 untuk tetapan paparan yang optimum. Sementara itu fungsi Night Vision dan Black Equalizer 2.0-pula bantu memudahkan pemain mengesan musuh di kawasan yang malap dengan lebih baik.