Ucapkan selamat tinggal kepada XPS, Inspiron, Latitude, Precision, dan OptiPlex kerana di CES kesemua ini digantikan dengan tiga nama baharu iaitu Dell, Dell Pro dan Dell Pro Max. Menerusi penjenamaan semula ini, Dell ingin meringkaskan rangkaian produk mereka kepada tiga kelas yang lebih mudah difahami oleh orang ramai.
Dell ialah untuk produk yang ditawarkan untuk kegunaan kerja, pendidikan dan permainan. Dell Pro pula untuk pengguna produktiviti profesional. Akhir sekali Dell Pro Max ialah produk yang menawarkan prestasi maksimum. Setiap jenama kemudiannya mempunyai tiga tahap harga iaitu Base, Plus dan Premium.
Sebagai contoh komputer riba gaming Dell XPS misalnya akan dipasarkan menggunakan nama baharu Dell Premium. Siri Dell Latitude untuk kegunaan pejabat pula akan menggunakan nama baharu Dell Pro. Penjenamaan semula ini akan digunakan bukan sahaja pada komputer riba tetapi juga pada kesemua produk seperti monitor dan komputer desktop.