Salah satu ciri AI yang cool ada pada peranti Apple adalah rumusan notifikasi. Secara teori, pengguna yang menerima lambakan notifikasi setiap masa sepatutnya boleh memanfaatkan ciri ini kerana ia merumuskan semua dalam teks ringkas. Sayang sekali, Apple Intelligence masih tidak cukup pintar kerana hasil rumusan sangat mengelirukan.
Kes tular baru-baru ini adalah dari BBC apabila rumusan notifikasi berita mereka mengelirukan ramai pembaca. Disebabkan hal ini, Apple akan memperkenalkan kemas kini iOS baharu. Dalam kemas kini ini, notifikasi yang telah dirumuskan akan mempunyai label yang ia dijana oleh Apple Intelligence.
Ini adalah perkara baik kerana sehingga hari ini, semua perkhidmatan AI generatif akan berhalusinasi. Google Gemini, ChatGPT, Microsoft Copilot dan lain-lain semuanya akan memaparkan penafian yang teks yang dijana perlu disemak semula. Apple turut memberi kenyataan kepada BBC yang Apple Intelligence masih dalam bentuk beta, dan pengguna bebas melaporkan kepada mereka jika rumusan yang dijana bermasalah.