Pagi ini, NVIDIA telah akhirnya mengumumkan ketibaan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 mereka secara rasmi. Kad-kad grafik ini terdiri daripada NVIDIA GeForce RTX 5090, NVIDIA GeForce RTX 5080, NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti dan NVIDIA GeForce RTX 5070.
Terkini, laman web rasmi NVIDIA telah mengemaskini tanda harga untuk pasaran Malaysia, dan nampaknya tanda harga untuk kad-kad grafik tersebut nampaknya sedikit menyimpang berbanding dengan apa yang ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat.
NVIDIA GeForce RTX 5090 hadir dengan tanda harga RM10,390, NVIDIA GeForce RTX 5080 hadir dengan tanda harga RM5190, NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti pada RM3890 dan NVIDIA GeForce RTX 5070 pula akan dijual pada harga RM2850.
Ini bukanlah sesuatu yang baru atau mengejutkan. Pertama, perlu diingatkan bahawa tanda harga yang dipaparkan ini hanyalah tanda harga anggaran sahaja. Ini adalah kerana kad grafik siri Founders Edition hanya dijual di sejumlah pasaran tertentu, dan Malaysia buat masa ini nampaknya bukan salah satu daripada pasaran tersebut.
Anda akan perlu menunggu jenama-jenama seperti ASUS, MSI, GIGABYTE, ZOTAC dan sebagainya untuk memperkenalkan kad-kad grafik mereka untuk pasaran tempatan, dan harga yang tertera diatas secara lazimnya tidak begitu terpakai.
Anda boleh menggunakan penyenaraian harga tersebut untuk melihat berapa besar penambahan harga yang dilakukan berbanding dengan penawaran harga “asas” ini.
Jenama-jenama pembuat kad grafik akan memperkenalkan penawaran kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5000 mereka sendiri tidak lama lagi.