AMD akhirnya telah melancarkan siri cip pemprosesan terbaru mereka, iaitu AMD Ryzen Z2 untuk konsol-konsol PC terbaru yang akan memasuki pasaran kelak. Seperti yang dijangka, AMD telah memperkenalkan tiga buah model siri CPU ini, termasuklah AMD Ryzen Z2 Extreme, AMD Ryzen Z2 dan AMD Ryzen Z2 Go.
Bermula dengan cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Extreme, ia tampil dengan penawaran lapan teras fizikal dengan 16 bebenang kuasa, dan dikatakan ialah satu-satunya model CPU dalam siri ini yang menggunakan gabungan teras ZEN 5 dan Zen 5c. Ia juga hadir dengan 16 teras CU untuk pemprosesan grafik dan menggunakan teras grafik RDNA 3.5 yang juga dimanfaatkan didalam sebuah lagi APU AMD, iaitu cip pemprosesan Strix Halo mereka.
Untuk cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 pula, ia hadir dengan jumlah teras dan bebenang sama dengan AMD Ryzen Z2 Extreme, tetapi menggunakan teras ZEN 4 yang sama yang digunakan pada siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1. Perbezaannya disini ialah cip Ryzen Z2 hadir dengan 2 teras tambahan dan empat bebenang kuasa berbanding dengan model sebelum ini.
Mungkin paling menarik ialah cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 Go. Cip pemprosesan ini hadir dengan empat teras dengan lapan bebenang kuasa dan sama seperti cip sebelum ini, hadir dengan 12 teras CU untuk bahagian grafiknya.
Satu lagi butiran menarik mengenai cip pemprosesan ini ialah AMD Ryzen Z2 Extreme sahaja hadir dengan jumlah penggunaan kuasa 15-35W, dimana dua lagi CPU mempunyai jumlah penggunaan kuasa 15-30W.
Ia dijangka bahawa beberapa jenama teknologi seperti ASUS, Lenovo dan mungkin juga Valve akan menggunakan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 ini di dalam konsol-konsol mereka dan akan diumumkan sewaktu acara CES 2025.
Buat masa ini, AMD mengatakan bahawa siri cip pemprosesan ini akan mula ditawarkan kepada pembuat-pembuat konsol PC bermula suku pertama tahun ini.