Carian
TV
Hisense Memperlihatkan TV MicroLED 136 Inci Dengan Keterangan 10,000 Nit
January 7, 2025 Fahim Zahar

Sempena acara CES 2025 yang sedang berlangsung minggu ini, Hisense mengumumkan dua model televisyen baharu bersaiz gergasi mereka. TV terbesar ialah MicroLED 136MX dengan skrin sebesar 136″ dan juga menggunakan teknologi MicroLED. Ia hadir dengan 24.88  juta LED mikro yang boleh menawarkan keterangan sehingga 10,000 nit, kadar segar semula 120Hz, mod masa pendam rendah dan sokongan Dolby Vision.

MicroLED 136MX

Tiada maklumat mengenai sistem operasi yang digunakan MicroLED 136MX tetapi dengan teknologi MicroLED, Hisense berkata ia mampu menawarkan kualiti visual yang menakjubkan tanpa isu skrin terbakar yang menghantui teknologi OLED.

TriChroma LED TV

TV kedua pula ialah TriChroma LED TV dengan skrin Mini LED sebesar 116″. Menerusi teknologi RGB Local Dimming yang dibangunkan oleh Hisense, panel TV ini boleh memaparkan 97% warna di dalam gamut BT.2020 dan keterangan pula sehingga 10,000 nit. Sistem operasi yang digunakan ialah Google TV dengan sokongan Dolby Vision IQ, IMAX Enhanced dan juga sistem audio 6.2.2 saluran CineStage X secara terbina.

Buat masa ini, Hisense hanya memperlihatkan konsep di CES 2025 dengan perancangan produk akhir akan dijual bermula tahun ini secara berperingkat.

Komen