Carian
KWSP Memperkenalkan i-Akaun Secure Untuk Pengesahan Transaksi Akaun Fleksibel Lebih Cepat
January 7, 2025 Amy Maizuraa

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan ciri keselamatan baharu pada aplikasi mudah alih iaitu i-Akaun Secure. Ia boleh digunakan untuk meluluskan transaksi pengeluaran akaun fleksibel dengan pantas dan selamat. Seterusnya yang dapat dilihat, konsep digunakan menyerupai dengan ciri keselamatan tambahan seperti Secure2u Maybank. Di mana pengesahan transaksi berkenaan boleh dilakukan dengan hanya satu klik pada aplikasi tanpa perlu menggunakan SMS TAC.

Turut dimaklumkan bahawa i-Akaun Secure hanya boleh digunakan pada satu peranti sahaja. Ini bermakna pengguna sedia ada tiada tindakan diperlukan kerana dilakukan secara automatik melalui kemaskini terkini. Namun pengguna yang kehilangan peranti pula perlu menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP atau kunjungi mana-mana Pejabat KWSP untuk menyahaktifkan i-Akaun Secure. Sekiranya pengguna ingin mengaktifkan i-Akaun Secure semula, proses pautan peranti perlu dibuat.

Langkah pengaktifan boleh dilakukan dengan membuka profil dan pilih tetapan aplikasi. Kemudian aktifkan notifikasi di halaman tetapan aplikasi. Pemberitahuan pula boleh diaktifkan melalui ruang pemberitahuan dengan mengaktifkan butang membenarkan pemberitahuan. Proses meluluskan transaksi juga mudah dengan pilih pengesahan melalui i-Akaun Secure dan klik butang lulus untuk meneruskan pengesahan transaksi.

Buat masa ini, transaksi dalam talian yang menggunakan i-Akaun Secure hanya melibatkan permohonan Pengeluaran Akaun Fleksibel sahaja. Namun, ia akan diperluaskan kepada transaksi lain seperti permohonan pengeluaran, pendaftaran, dan penamaan pada masa akan datang.

Komen