Monitor Gaming Pintar HP Omen 32x Dilancarkan Dengan Google TV
Effi Saharudin
Di pasaran sudahpun dijual monitor pintar dengan sistem operasi Tizen dan WebOS. Hari ini HP Omen 32x pula dilancarkan sebagai sebuah monitor gaming pintar yang menggunakan sistem operasi Google TV. Ia dilengkapi skrin 31.5″ 4K IPS LCD yang menyokong kadar segar semula 144Hz dan juga piawaian DisplayHDR 400 dengan Dolby Vision.

Panel monitor boleh memaparkan 95% warna DCI-P3 dan 99% warna RGB. Terdapat sokongan NVIDIA G-Sync dan AMD FreeSync Premium untuk sesi permainan video. Pilihan input pula adalah 1x DisplayPort 1.4 dan 2x HDMI 2.1. Sambungan menggunakan USB-C boleh membekalkan kuasa sehingga 65W kepada komputer riba.
Terdapat juga 2x USB A, bicu audio 3.5mm dan sambungan LAN. Sistem suis KVM untuk menyambungkan pelbagai aksesori peranti input serentak. Kerana ia sebuah monitor untuk gaming, pemilik boleh menstrim kandungan terus ke empat platform berbeza secara serentak tanpa memerlukan perkakasan tambahan. Apabila tiada input disambung, Omen 32x berfungsi seperti sebuah Google TV biasa dengan sokongan pelbagai aplikasi.
HP OMEN 32x Smart Gaming Monitor akan dijual bermula April depan pada harga $749.99 (~RM 3365) sebuah.